Penternak lembu miliki pistol, peluru hidup ditahan polis  - Utusan Malaysia

Penternak lembu miliki pistol, peluru hidup ditahan polis 

MUHAMAD Zaki Harun (tengah) menunjukkan pistol yang dirampas anggotanya dalam serbuan di Taman Desa Rahmat semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis merampas sepucuk pistol dan sembilan butir peluru hidup selepas menahan seorang penternak lembu dalam serbuan di sebuah bangsal di tepi sebuah rumah di Taman Desa Rahmat, di sini pada Khamis lalu.

Dalam serbuan pukul 9.48 malam itu, polis turut merampas dadah jenis pil yaba, ganja dan air ketum yang dianggarkan berjumlah RM6,315.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota telah melakukan serbuan di lokasi dan mendapati seorang lelaki berusia 27 tahun sedang berada di atas sebuah bangsal di tepi rumah tidak bernombor.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan suspek telah bertindak melarikan diri dan mencampakkan sesuatu di kawasan tersebut sebelum berjaya dicekup.

“Pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai sepucuk pistol jenis Semi Automatik bersama kelopak mengandungi sembilan butir peluru hidup bersaiz 9 milimeter (mm).

“Anggota bertugas kemudiannya telah menjumpai dadah jenis pil yaba (600 biji), ganja (5.7 gram) dan air ketum (0.5 liter),” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, polis turut menyita sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal dalam serbuan tersebut.

Katanya, nilai rampasan kedua-dua buah kenderaan itu dianggarkan berjumlah RM77,000.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkait Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Polis akan menjalan siasatan lanjut berkait dengan kes ini.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 10 Mac lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 serta Akta Senjata Api 1960,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya