Pening alatan sekolah mahal, kantung PIBG susut - Utusan Malaysia

Pening alatan sekolah mahal, kantung PIBG susut

Gelagat seorang bapa yang merakam gambar anaknya sebelum menyertai orientasi murid Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Setapak di Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ibu bapa B40 me­ngeluh apabila terpaksa berha­bis sekitar RM250 hingga RM500 seorang untuk menyediakan keperluan sekolah yang bakal dibuka pada Ahad dan Isnin ini.

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 diagihkan kerajaan tidak mencukupi untuk membiayai kelengkapan sekolah dan bayaran-bayaran lain termasuk yuran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jamizan Rashid, 44, berkata, kos mening­kat setiap kali sesi sekolah dibuka dan ini membebankan kerana kos barang lain turut melonjak.

“Pengalaman saya, untuk seorang anak sekolah rendah perbelanjaan minimum RM250 bagi kelengkapan sekolah tidak termasuk yuran dan belanja lain.

“Manalah mampu, sekiranya anak yang ramai untuk mengeluarkan belanja yang lebih besar lagipun kami baru boleh bekerja selepas banjir Februari dan awal bulan ini,” katanya.

Penduduk Felda Kota Gelanggi 2, Masriyani Ismail, 52, pula berkata, paling membebankan adalah perbelanjaan anak di sekolah menengah kerana pakai­an seragam, kain tudung (bagi perempuan) dan pakaian dalam hampir mencecah RM300 seorang tidak termasuk kelengkapan lain seperti kasut sekolah.

“Lagipun, harga pakaian sera­gam sekolah, kasut dan beg agak berbeza yang dijual di premis di bandar. Walaupun dipilih harga yang murah, tetapi perbelanjaan masih tidak mencukupi,” katanya.

Peniaga makanan itu berkata, untuk tahun ini, dia berhabis RM700 untuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah untuk dua anaknya tidak termasuk yuran dan bayaran lain.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak, Zulkifly Mahmud, 56, berkata, PIBG sebelum ini cakna dengan pelajar dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan tetapi tahun ini PIBG turut kurang dana.

“Baki dana yang ada kami menyumbangkan kepada program lain sepanjang tahun lalu.
“Sejak dua tahun lalu ‘kantung’ PIBG susut untuk membantu kebajikan pelajar jadi situa­si ini sangat sedih,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN