Penguat kuasa lemah punca warga asing kuasai ekonomi - Utusan Malaysia

Penguat kuasa lemah punca warga asing kuasai ekonomi

Warga asing mengusahakan pelbagai perniagaan di Jalan Tun Tan Siew di Kuala Lumpur. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penguatkuasaan lemah didakwa menjadi faktor utama lambakan warga asing yang kini menguasai ekonomi negara seperti menjadi penjaja di ibu negara dan di ne­geri-negeri lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman mendakwa, ini kerana kelibat warga asing menjalankan perniagaan di kawasan bandar dan pekan di seluruh negara sudah menjadi ‘kebiasaan’.

Dakwanya, kebanjiran akti­viti ekonomi dimonopoli warga asing di sesuatu kawasan tersebut sebenarnya menjejaskan peniaga tempatan.

“Contoh di Pasar Pudu ramai warga Bangladesh, pasar Chow Kit warga Indonesia dan Bangladesh, di Selayang warga Myanmar, pasar Sungai Buloh warga Bangladesh, Petaling Street warga Kemboja, di Nilai 3 warga Pakistan, di Jalan Silang warga Bangladesh dan di Masjid India warga Pakistan, Indonesia dan Bangladesh.

“Jadi perkara ini sudah lama dan kita boleh tahu di mana, kalau satu-satu kawasan itu dimonopoli oleh orang mereka (warga asing), apa mahu jadi dengan peniaga kita.

“Tengok saja di Pudu, orang kita sampai katakan macam mana mereka mahu meniaga sebab warga asing meniaga sayur lebih murah. Mereka beli dengan kapasiti banyak selepas itu bahagikan dengan warga mereka.

“Konsep perniagaan ini bukan sahaja boleh menjejaskan peniaga Melayu, tetapi orang Cina pun lari. Orang Cina di Chow Kit pun mengeluh tak boleh cari makan,” dakwanya ketika dihubungi baru-baru ini.

CAKAP POLITIK SAHAJA

Rosli yang juga Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, kerajaan dilihat tidak ‘minat’ menangani isu warga asing yang mula memonopoli sektor perniagaan.

Dakwanya, ini kerana pe­mimpin lebih banyak bercakap untuk politik semata-mata tetatpi tidak ada tindakan.
“Negara ada undang-undang, tetapi gagal dari segi pelaksa­naan. Sekarang ini pun apabila tanya penguat kuasa kenapa tak ambil tindakan (terhadap peniaga asing), mereka katakan sebab tak ada aduan, inikah standard kerja mereka?” Soalnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam isu berkenaan bagi mengelakkan sumber hasil pendapatan rakyat terjejas dan diraih orang luar.

“Dalam isu ini sudah puluhan tahun saya bercakap, akhir­nya tak boleh kawal. Kita ada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bermacam lagi penguat kuasa, tetapi warga asing­ tak boleh kawal.

Rosli berkata, meskipun ti­dak dinafikan wujud kegiatan menyewa lesen kepada peniaga warga asing, tetapi penguat kuasa sepatutnya mengenal pasti punca utama mengapa mereka melakukan aktiviti tersebut.

“Apa punca? Kita tidak boleh menyalahkan orang kita. Puncanya disebabkan lambakan peniaga asing untuk bersaing, jadi baik orang kita sewakan saja.

“Kalau mahu pastikan orang kita patuhi undang-undang, bersihkan dulu peniaga asing untuk elakkan persaingan de­ngan warga luar dan pastikan mereka tidak terlibat dengan sektor penjaja, maka baru boleh didik orang kita.
“Ini tidak, sekarang ini tangkap orang kita meniaga tak ada lesen, sedangkan peniaga asing kita biarkan, bolehkah begitu?” soalnya.

WARGA ASING SANGGUP BAYAR SEWA MAHAL

Di Klang, Selangor, warga asing­ di daerah ini dikesan memonopoli sebahagian besar premis perniagaan dengan ‘membeli’ lesen berniaga de­ngan harga mahal berbanding harga asal ditawarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Malah, dalam kalangan me­reka dipercayai sanggup membayar sewaan premis sehingga lebih RM5,000 sebulan bagi mengusahakan perniagaan wa­laupun sebahagian besar daripadanya mengakui hanya bekerja dan mendakwa gerai dimiliki majikan.

Mereka yang terdiri daripada warga Bangladesh dan Myanmar itu rata-ratanya menjual sayur, barang runcit serta makanan di kedai sewaan tersebut.

Tinjauan di Pasar Besar Meru dan bandar Klang mendapati wujud warga asing sama ada yang berniaga dan bekerja di kawasan itu.

Seorang peniaga sayur warga Myanmar dikenali sebagai Ayub, 31, berkata, jumlah sewaan antara RM2,500 hingga RM3,000 dibayar untuk berniaga di premis berskala kecil.

“Kos bulanan itu dibayar secara terus kepada pemilik kedai tanpa mengira sama ada kami untung atau sebaliknya. Kami sedar perbuatan itu salah namun terpaksa demi mencari rezeki,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, peniaga warga Bangladesh yang enggan dikenali berkata, ada daripada mereka sanggup membayar lebih RM5,000 untuk menyewa sebuah premis.

“Selain faktor saiz yang besar, kos itu bergantung kepada kedudukan lokasi terutama di kawasan bandar.
“Segala bil api dan elektrik juga dibayar kepada pemilik premis selain ada yang hanya diupah bekerja di kedai tertentu,” ujarnya.

BAGAI CENDAWAN TUMBUH LEPAS HUJAN

Di Sungai Petani, Kedah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dilihat di Jalan Ibrahim, di sini apabila premis perniagaan semakin banyak dimonopoli peniaga warga asing selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

Penguasaan perniagaan oleh warga asing bukan sahaja di ibu negara malah merebak ke Sungai Petani. – utusan/OTHMAN YAHYA

Tinjauan mendapati, premis menjual pelbagai barangan ke­perluan harian, pakaian dan makanan itu menjadi perniagaan warga asing dan pelanggan juga ramai membabitkan rakan senegara mereka.

Difahamkan, warga asing se­perti Bangladesh, Myanmar dan Vietnam sering menjamu selera di sebuah kedai makan dipercayai milik pengusaha warga Bangladesh yang mengupah pekerja tempatan untuk beroperasi.

Kesemua lebih empat premis perniagaan di situ juga dipercayai disewa oleh penduduk tempatan yang menjadi pemiliknya selama ini.

Seorang penduduk tempatan, Salmi Salleh, 39, yang menjalankan perniagaan kedai makan di Jalan Peteri turut hairan kerana warga asing berkenaan seolah-olah bebas berniaga di situ.

“Kami bimbang kawasan itu kelak akan menjadi lokasi warga asing berkumpul kerana selama ini pun situasi itu telah berlaku. Bukan mahu sekat mereka cari rezeki tetapi mungkin ada sesuatu tidak kena kerana se­perti tiada kawalan hingga membolehkan mereka mudah berniaga,” katanya ketika ditemui.

Selain di Jalan Ibrahim, tinjauan juga mendapati beberapa buah kedai turut diusahakan oleh warga asing di belakang perhentian bas di Jalan Peteri.

Pemandu teksi, Hamid Hassan, 59, berkata, kewujudan premis yang diusahakan golo­ngan itu memang banyak di sekitar kawasan berkenaan.

“Mungkin lokasi di sini sesuai untuk sebarang perniagaan ke­rana terletak berdekatan perhentian bas yang sering diguna oleh warga asing sebagai pe­ngangkutan utama mereka berulang-alik ke pekan.

“Di sini terdapat kedai makanan berasaskan selera mereka, premis menjual kelengkapan harian dan bermacam jenis barangan lain dijual dengan harga lebih murah berbanding di kedai peniaga tempatan,” katanya.

PENIAGA THAILAND KUASAI PADANG BESAR

Di Padang Besar, Perlis, isu monopoli peniaga warga Thailand di kawasan arkeb niaga Padang Besar dan sekitarnya termasuk membabitkan kedai-kedai makanan bagaikan tiada noktah yang terus menyaksikan aliran keluar duit negara ke negara jiran dianggarkan mence­cah jutaan ringgit setiap bulan.

PENIAGA tempatan terpaksa bersaing dengan peniaga warga Thailand yang mendominasi kawasan arked niaga Padang Besar. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Masalah tersebut berlaku apabila ada peniaga warga tempatan yang menyewa tapak kepada peniagaThailand.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam negeri, Izizam Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan melaksanakan beberapa syarat tambahan bagi memastikan para peniaga terdiri daripada warga tempatan.

Beliau difahamkan lebih 20 peratus daripada sekitar 30 gerai makanan khususnya di sekitar kawasan arkeb niaga Padang Besar dan kompleks beli-belah Padang Waremart di sini dimonopoli peniaga Thailand yang menyewa tapak daripada warga tempatan.

“Jika sebuah kedai mampu menjana pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan bayangkan jika membabitkan keseluruhan premis makanan berkenaan yang nilainya boleh mencecah jutaan ringgit setiap bulan yang dibawa keluar ke negara jiran.

“Kita nasihatkan kepada peniaga-peniaga tempatan ini jangan sewa kepada orang luar, berniaga betul-betul,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi baru-baru ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN