BAGAN SERAI: Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan usul mengosongkan kerusi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertujuan menyekat perubahan yang dibawa Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tindakan itu satu perbuatan yang tergesa-gesa oleh Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Pulau Pinang yang mungkin mahu melenyapkan suara pembangkang di negeri itu.
Menurutnya, rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap tindakan PH Pulau Pinang yang meluluskan usul mengosongkan kerusi empat ADUN Bersatu iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) dalam DUN negeri itu.
GOYAH
“Kerajaan negeri mungkin rasa goyah kerana negeri itu kini berada di penghujung penggal pemerintahannya apabila sekarang memasuki fasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.
“Tindakan itu sudah tentu akan menyebabkan berlakunya gelombang kebangkitan rakyat di pelbagai peringkat terutamanya di kawasan majoriti pengundi Melayu pada PRN nanti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengenai PRN di enam negeri termasuk di Pulau Pinang, Razman berkata, Pas Perak akan menghantar keseluruhan jenteranya dari Perak bagi membantu menggempur dua buah negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor.
Beliau berkata, di Perak, Pas mempunyai 24 Pas kawasan dan kesemuanya akan dihantar untuk berkampung di dua buah negeri itu bagi memastikan PN dapat mengambil semula negeri itu.
“Sebanyak 12 Pas kawasan akan dihantar ke Pulau Pinang manakala bakinya akan dihantar ke bahagian utara negeri Selangor bagi memastikan kemenangan besar di dua itu,” katanya.
Razman menjangkakan PN akan dapat menawan 14 kerusi DUN di Pulau Pinang dan beberapa buah kerusi di Selangor agar kerajaan negeri dapat dibentuk dan diterajui oleh PN.
Menurutnya, namun Pas sedar parti itu bukan sebahagian daripada kerajaan dan secara tradisinya sumber kewangan diperoleh dari sumbangan ahlinya di seluruh negara.
“Jadi kita menyeru semua ahli Pas di seluruh negara khususnya di Perak dapat menyumbangkan dana untuk PRN agar jentera parti yang berkampung untuk menggempur Pulau Pinang dan Selangor akan berjaya mencapai matlamat yang diinginkan,” katanya. – UTUSAN










