Pemandu, kelindan maut, lori rempuh treler rosak berhenti tengah jalan

Pemandu, kelindan maut, lori rempuh treler rosak berhenti tengah jalan

KEADAAN lori muatan cat yang mengalami kerosakan selepas merempuh treler rosak di Kilometer 43.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, Kelantan, hari ini.UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pemandu dan kelindannya maut selepas lori yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler rosak yang berhenti di tengah jalan di Kilometer 43.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 3 di sini hari ini.

Dalam nahas kira-kira pukul 6.45 pagi itu, pemandu, Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan Nik Mohamad Nasrullah Mohd. Nizam, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian depan lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, sebuah lori dinaiki kedua-dua mangsa yang membawa muatan cat sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Kota Bharu.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu merempuh bahagian belakang sebuah treler muatan barangan besi yang berhenti di tengah jalan.

“Treler tersebut dipercayai mengalami kerosakan kotak gear sehingga terpaksa berhenti di kawasan terbabit.

“Impak rempuhan yang kuat menyebabkan kedua-dua mangsa maut selepas tersepit di dalam lori itu sehingga mereka mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choon Foo memberitahu, pemandu treler berusia 43 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.

Katanya, jenazah dua lelaki itu dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

“Sehubungan itu, pemandu atau pemilik kenderaan berat terutamanya lori dinasihatkan supaya tidak meninggalkan kenderaan tanpa jagaan mengikut Kaedah 53, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Kenderaan yang rosak juga tidak boleh ditinggalkan tanpa lampu di atas jalan yang gelap pada waktu malam bertentangan dengan Kaedah 42 di bawah kaedah sama,” ujarnya.

Choon Foo berkata, tindakan yang perlu diambil perhatian utama adalah meletakkan segi tiga keselamatan dan memberikan amaran awal mengenai kenderaan yang tidak bergerak kepada kenderaan lain dari arah belakang.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya