‘Parti tak bagi lepas jawatan, itu alasan kuno’

‘Parti tak bagi lepas jawatan, itu alasan kuno’

pru15
MOHD. RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas kehendak perwakilan parti itu disifatkan sebagai satu alasan kuno.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, ia menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak menunaikan apa yang diperkatakan ketika lantang menyerang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Muhyiddin dulu serang Presiden UMNO yang kononnya siapa ada tuduhan mahkamah patut lepas jawatan.

“Oleh itu, patut lepaskan jawatan atau tidak, adalah keputusan sendiri. Tak boleh kata konon mesyuarat (Majlis Pimpinan Bersatu atau MPT) tak bagi lepas jawatan…itu alasan kuno.

BERDEGAR

“Sekarang ini orang boleh lihat siapa Muhyiddin sebenar, cakap berdegar-degar tetapi apabila kena pada diri tak mahu tunaikan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Muhyiddin sebelum ini dihadapkan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Semalam, mesyuarat MPT Bersatu dan perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan parti itu meluluskan usul menolak peletakan jawatan Presiden.

Sementara itu, Ketua Pene­rangan UMNO, Isham Jalil berkata, sikap cakap tidak serupa bikin Muhyiddin boleh dilihat sejak dahulu lagi.

Katanya, pemimpin Bersatu lantang menggesa pemimpin parti lawan meletakkan jawatan sekiranya menghadapi perbicaraan di mahkamah, namun tidak pula dikenakan terhadap pemimpin sendiri.

“Bila Ketua Penerangan Bersatu (Datuk Wan Saiful Wan Jan) kena dakwa dan letak jawatan, Muhyiddin kata ini standard Bersatu kononnya bila ada kes mahkamah mereka letak jawatan.

“Kemudian Muhyiddin kata dia akan letak jawatan jika ada pertuduhan tapi bila sudah ada pertuduhan, dia tidak letak jawatan sebab kononnya kawan-kawan dia tidak izin,” katanya.

KEMELUT

Penganalisis politik, Datuk Dr. Jeniri Amir berpendapat, keputusan dibuat pimpinan Bersatu itu adalah selari dengan pendirian pemimpin parti lain di negara ini apabila berdepan dengan tuduhan mahkamah atau kemelut politik yang lain.

Sehubungan itu, katanya, ada duluan (precedent) yang memperlihatkan bahawa ia bukan menjadi amalan mana-mana pemimpin parti politik untuk berundur secara sukarela.

“Keputusan dibuat itu tidak mengejutkan kerana Bersatu tentu beranggapan walaupun berdepan kes, kepimpinan Muhyiddin memungkinan mereka terus bergerak kehadapan.

“Muhyiddin dilihat berupaya menyuntik semangat. Jika berundur mereka seolah-olah seperti anak ayam kehilangan ibunya. Jadi, paling kurang kehadiran beliau beri keyakinan untuk terus menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Selain itu, beliau menambah, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan Bersatu berpegang kepada prinsip seorang pemimpin itu tidak dipastikan bersalah selagi mahkamah belum bukti bersalah.

“Jadi jika suruh Muhyiddin berundur, ia seolah-olah mengakui beliau bersalah. Apatah lagi mereka perlukan pimpinan beliau untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam ne­geri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN