Parti kerajaan bincang PRN 6 negeri esok

Parti kerajaan bincang PRN 6 negeri esok

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Perundingan Kerusi di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan bermesyuarat esok bagi membincangkan perkara berkaitan persiapan menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hasil perbincangan mesyuarat itu akan dibawa untuk dibincangkan bersama jawatankuasa induk.

“Kita ada tiga jawatankuasa, Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik dan Jawatankuasa Komunikasi Strategik sudah ada mesyuarat pertama.

“Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi akan diadakan Selasa ini. Mesyuarat fokus soal enam PRN, dasar dan prinsip asas dalam kita bekerjasama untuk mempersiap parti-parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan untuk berdepan PRN di enam negeri.

“Apa juga perkara dibincangkan akan dibawa ke jawatankuasa induk iaitu Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 19 Mac ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Bagaimanapun, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan per­kenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

Sementara itu, mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Asyraf Wajdi berkata, beliau akan menggunakan segala pengalamannya dalam dunia akademik, dunia korporat perbankan dan kewangan serta politik dalam menerajui Mara.

“Dapatlah saya membantu memperkasa Mara yang merupakan institusi penting yang memfokuskan agenda pembangunan modal insan, pendidikan keusahawanan dan agenda memberdaya ekonomi serta pelaburan bumiputera-Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN