Negeri Sembilan tawar tiga lokasi tanah bina PPR - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan tawar tiga lokasi tanah bina PPR

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menawarkan tanah di tiga lokasi iaitu Seremban, Jempol dan Tampin kepada pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dipertimbangkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat (PPR).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketiga-tiga tanah itu berkeluasan di antara lapan ke 12 hektar dan terletak di lokasi yang strategik.

“Kerajaan negeri sentiasa berikan kerjasama, kami telah menghantar senarai tiga lokasi kepada pihak kementerian untuk dinilai.

“Banyak unit rumah yang boleh dibina, (jenis rumah) terpulang kepada KPKT untuk lihat kesesuaiannya, mereka akan bincang dengan kerajaan negeri juga dan kami akan beri pandangan.

“Kawasan pembinaan PPR ini mestilah berada di lokasi strategik dan mempunyai kemudahan dan infrastruktur termasuk jalan perhubungan ke tempat-tempat penting di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logo baharu Majlis Daerah Rembau di Wisma Negeri di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan negeri yang menawarkan tanah percuma atau kutipan ‘nominal premium’ di lokasi strategik akan diberi keutamaan untuk pembinaan PPR.

Langkah tersebut jelasnya dapat mengoptimumkan kos pembinaan projek tersebut yang sebelum ini tinggi disebabkan bayaran premium tanah.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, beliau harap bulan Ramadan kali ini tidak berlaku sebarang isu dan pertikaian melibatkan golongan peniaga dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Terdapat kawasan tertentu yang tidak dibenarkan untuk berniaga dan tidak boleh dipasang khemah atas pelbagai sebab antaranya untuk dijadikan kawasan parkir. 

“Dalam hal ini kami di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menyokong keputusan oleh pihak PBT, tidak akan berkompromi. Semua peniaga telah diberikan masa cukup panjang bagi mengetahui kawasan mana yang mereka boleh berniaga jadi saya harap mereka menghormatinya,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya