Pihak berkuasa Arab Saudi pertingkat kawalan keselamatan

Pihak berkuasa Arab Saudi pertingkat kawalan keselamatan

PETUGAS melakukan imbasan kod terhadap kad Nusuk jemaah haji sebelum menunaikan ibadah umrah di hotel penginapan Al-Tayseer, Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi mengetatkan kawalan keselamatan di semua laluan utama menuju Mekah dengan memastikan hanya individu yang memiliki visa haji sah dibenarkan memasuki Tanah Suci itu sempena musim ibadah tahun ini.

Langkah tersebut dilaksanakan bagi mengawal pergerakan orang ramai dan mengekang cubaan segelintir pihak yang cuba memasuki Mekah tanpa permit rasmi untuk menunaikan ibadah haji secara tidak sah.

Hal ini setelah pihak berkuasa negara itu menegaskan kemasukan tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar peraturan, malah boleh menjejaskan kelancaran operasi haji serta memberi kesan kepada jutaan jemaah yang memperoleh kelulusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

Tinjauan di beberapa sekatan jalan raya mendapati pemeriksaan dilakukan secara teliti membabitkan kenderaan persendirian dan bas yang melalui laluan masuk ke kota suci berkenaan.

Selain pemeriksaan dokumen perjalanan, pasukan keselamatan turut melakukan semakan rawak terhadap jemaah dengan memeriksa kad Nusuk iaitu kad pengenalan rasmi yang diwajibkan kepada setiap jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci.

Kad Nusuk berfungsi sebagai pengesahan bahawa seseorang jemaah memiliki permit haji sah selain membolehkan mereka mengakses pelbagai kemudahan dan perkhidmatan rasmi yang disediakan sepanjang musim ibadah.

Walaupun jemaah sudah melepasi proses imigresen sebaik tiba di lapangan terbang, pemeriksaan tambahan di pintu masuk Mekah tetap diteruskan sebagai lapisan kawalan kedua bagi memastikan tiada penyalahgunaan visa berlaku.

Langkah penguatkuasaan itu juga bertujuan mengelakkan kesesakan luar jangka, isu logistik serta tekanan terhadap kemudahan awam yang telah dirancang mengikut jumlah rasmi jemaah berdaftar.

Dalam masa sama, jemaah Malaysia yang tiba secara berperingkat sejak 18 April lalu dinasihatkan sentiasa mematuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.

Seramai 31,600 jemaah Malaysia dijadual berlepas ke Arab Saudi bagi menunaikan rukun Islam kelima pada musim haji kali ini menerusi penerbangan berperingkat.

Mereka turut diingatkan supaya sentiasa memakai kad Nusuk pada setiap masa, khususnya ketika berada di kawasan Masjidil Haram bagi memudahkan urusan pemeriksaan dan pergerakan.

Pemantauan ketat yang dilaksanakan itu mencerminkan komitmen kerajaan Arab Saudi untuk memastikan perjalanan ibadah haji berlangsung lebih tersusun, selamat dan selesa kepada seluruh tetamu Allah dari seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN