PETALING JAYA: Tiga mata penuh menjadi buruan utama Negeri Sembilan FC ketika berdepan Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Pertahanan Negeri Sembilan FC, Ariff Ar-Rasyid menegaskan skuad Sang Rusa tidak gentar beraksi di tempat lawan dan percaya momentum pasukan berada dalam keadaan yang baik.
“Kami sedar cabaran yang bakal menanti di tempat lawan, namun itu bukan penghalang untuk kami memberikan segalanya di atas padang.
“Melihat kepada carta liga sekarang, persaingan di kelompok tempat ke-6 sangat sengit dengan perbezaan hanya satu atau dua mata. Jika mahu terus bersaing, kami perlu kekal konsisten.
“Persiapan pasukan berjalan lancar dan moral setiap pemain sangat positif. Kami turun dengan satu misi sahaja iaitu membawa pulang tiga mata penuh ke Paroi,” katanya.
Dalam aksi itu, Negeri Sembilan FC menyasarkan kemenangan penting bagi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super, sekali gus mengukuhkan peluang untuk kekal bersaing dalam kelompok pertengahan liga.
Skuad kendalian K.Rajan berada dalam momentum terbaik selepas mencatatkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan terakhir liga.
Untuk rekod, pada aksi pertama di Paroi menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sekaligus menjadikan aksi kedua sebagai medan merebut tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan terbaik dalam saingan liga.-UTUSAN










