Trump umum Israel-Lubnan lanjut gencatan senjata - Utusan Malaysia

Trump umum Israel-Lubnan lanjut gencatan senjata

TRUMP (tengah) bersama Leiter (kiri), Vance (dua dari kiri), Rubio (dua dri kanan) dan Nada dsi Rumah Putih. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Israel dan Lubnan telah melanjutkan gencatan senjata yang rapuh selama tiga minggu, kata Presiden Donald Trump pada Khamis, ketika Amerika Syarikat (AS) masih berada dalam kebuntuan rundingan dengan Iran untuk menamatkan perang di Asia Barat.

Trump mengumumkan lanjutan gencatan itu ketika beliau bertemu dengan duta Israel dan Lubnan ke  AS.

Gencatan senjata lanjutan itu diumumkan walaupun Israel baru-baru ini melancarkan serangan di Lubnan dan terdapat serangan roket baharu daripada Hizbollah yang disokong Iran, namun kumpulan itu tidak terlibat dalam rundingan di Rumah Putih, Washington.

“Saya rasa ada peluang yang sangat baik untuk mencapai keamanan. Saya rasa ia sepatutnya mudah,” kata Trump kepada wartawan pada Khamis. Gencatan asal dijadualkan tamat pada Ahad.

Dalam pengumuman itu, Naib Presiden AS, JD Vance, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, Duta Israel ke AS, Yechiel Leiter dan Duta Lubnan ke AS, Nada Hamadeh Moawad turut hadir.

Gencatan awal diumumkan selepas pertemuan pertama antara duta-duta pada 14 April.

Trump berkata, beliau menjangkakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Lubnan, Joseph Aoun, akan bertemu secara bersama dengannya di Rumah Putih semasa tempoh gencatan itu.

Namun, Aoun sebelum ini menafikan dakwaan Trump bahawa beliau akan mengadakan panggilan telefon dengan Netanyahu.

Israel bulan lalu melancarkan serangan besar ke atas Lubnan yang mengorbankan lebih 2,450 orang dan menyebabkan satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa.

Serangan itu berlaku sebagai tindak balas kepada tembakan oleh Hizbollah, yang berikrar untuk membalas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada awal perang AS-Israel pada 28 Februari. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN