SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Mohammad Naufal Amsyar Zakaria di sini teruja untuk memulakan hari pertama ke sekolah Ahad ini selepas dua tahun tidak mampu berbuat demikian ekoran masalah kemiskinan.
Dia yang diraikan sebagai penerima bantuan persekolahan oleh Pertubuhan Al-Ridzuan tidak sabar menyarung seragam baharu dan memilih beg kesukaannya ketika dibawa membeli-belah di sini.
Mohammad Naufal yang kematian ibu dua tahun lalu manakala bapanya yang dipercayai menghilangkan diri dan gagal dikesan sehinga sekarang tidak pernah bersekolah disebabkan keluarga angkatnya di Kampung Pegawai, Alor Setar hidup dalam kemiskinan.
Sejak itu dia dijaga oleh keluarga angkatnya sebelum diambil untuk ditempatkan di asrama Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda, di sini sejak kelmarin.
Selain Mohammad Naufal, seramai 14 lagi penghuni lelaki asrama berkenaan yang berusia antara lapan hingga 15 tahun terpilih sebagai penerima bantuan.
Setiausaha Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda, Muhammad Sani Saari berkata, pihaknya mengambil Mohammad Naufal untuk ditempatkan di asrama itu kerana tidak mahu kanak-kanak tersebut terus tercicir dan membesar dalam keadaan tidak sempurna.
“Sebaik mendapat maklumat kita mengunjungi keluarga angkatnya dan berbincang tentang masa depannya sebelum diberi kebenaran untuk ditempatkan di asrama ini dan kini dalam proses pendaftaran persekolahannya.
“Syukur dengan bantuan Pertubuhan Al-Ridzuan, semua penghuni asrama kami dapat membuat persiapan lengkap sebelum memulakan sesi persekolahan baharu nanti,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pertubuhan Al-Ridzuan, Muhammad Ridzuan Suhaimi berkata, dia terpanggil untuk membawa kesemua kanak-kanak terbabit membeli peralatan sekolah bagi meningkatkan motivasi dan semangat sebelum mereka kembali ke sekolah.
“Kita juga ingin memberi kepuasan kepada anak-anak yatim itu merasai pengalaman memilih sendiri jenama pakaian seragam, peralatan sekolah untuk digunakan. Selain membeli peralatan secukupnya, kita turut beri peluang mereka memilih baju raya sekali,” katanya. – UTUSAN










