Muka baharu perlu bukti UMNO relevan

Muka baharu perlu bukti UMNO relevan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKA baharu UMNO perlu membuktikan parti itu masih relevan dan mampu menjadi poster boy kerana mereka disifatkan sebagai kunci kebangkitan terutamanya sepanjang tempoh menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

Ini telah dibuktikan oleh beberapa parti sebelum ini, antaranya PKR yang berjaya bangkit setelah kehilangan beberapa pemimpin tertinggi seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Sejak Rafizi Ramli dilantik sebagai Timbalan Presiden bersama barisan kepimpinan baharu lain dalam pemilihan parti tahun lalu, PKR meraih 31 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus membantu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

Begitu juga dengan DAP yang berjaya memenangi 40 kerusi di bawah teraju Setiausaha Agung baharu, Anthony Loke Siew Fook, selepas puluhan tahun parti itu dibayangi dengan ke­pimpinan anak-beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga berjaya membuktikan kelangsungan parti di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa individu seperti Datuk Seri Hamzah Zainuddin tanpa kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Peranan yang sama perlu dimainkan oleh beberapa muka baharu UMNO antaranya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku naib presiden baharu.

Penganalisis politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan, di sebalik kejayaan menubuhkan barisan kepimpinan baharu, UMNO perlu lebih vokal dan konsisten dalam memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

Katanya, pendirian UMNO adalah penting supaya parti itu dapat menarik semula pengundi Melayu yang ketika ini lebih banyak memihak kepada Pas dan Bersatu selepas PRU15.

“Pembaharuan yang dilakukan oleh perwakilan UMNO dalam pemilihan kali ini dilihat tidak banyak mengubah parti itu sebenarnya, tetapi apa yang lebih penting, mereka perlu konsisten memperjuangkan ke­pentingan Melayu dan Islam.

“Mereka perlu lebih vokal untuk meraih kepercayaan, mendekati masyarakat de­ngan agresif bagi membuktikan mereka masih relevan dan parti yang penting, kerana perjua­ngan Melayu dan Islam adalah kekuatan UMNO,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau meng­anggap 30 peratus muka baharu yang memenangi pemilihan parti akan menjadi kelebihan buat UMNO.

“Jadi, tidak timbul soal UMNO akan hilang atau parti lain lebih menonjol kerana penilaian akan dilakukan sendiri oleh pengundi.

“Dengan adanya muka baharu, mereka dilihat mampu me­nerajui parti dari segi mengembalikan semula keyakinan UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×