MH370: Waris masih tunggu khabar - Utusan Malaysia

MH370: Waris masih tunggu khabar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap mampu merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 yang membelenggu waris kepada 239 penumpang dan anak kapal sejak 8 Mac 2014.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Selamat Omar, 70, bapa kepada Mohd. Khairul Amri berkata, dalam tempoh misteri itu, kerajaan dan Perdana Menteri bersilih ganti namun waris terus dibiar tertanya-tanya apa sebenarnya yang menimpa pener­bangan ke Beijing, China itu.

“Kini Anwar menjadi Perdana Menteri, saya harap beliau dapat merungkai isu ini seperti mana beliau pernah cakap pada 2014 yang mana Malaysia sepatutnya berkemampuan mengesan pesawat MH370.

“Apa yang saya ingin tahu, perkembangan dan status kejadian ini. Sebab apa MH370 hilang? Sama ada ia jatuh atau ditembak?

“Kita ingin tahu perkara sebenar. Ini kerana kejadian misteri ini bukan baharu tetapi sudah sembilan tahun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tahun ini, tahun kesembilan kehilangan pesawat itu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.

Susulan itu, operasi mencari besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan.

Pada Mac 2014, dalam temuramahnya bersama CNN, Anwar seperti dilaporkan sebuah portal berita berkata, radar Malaysia sepatutnya berkemampuan mengesan MH370 yang hilang.

Mengulas lanjut, Selamat berkata, dia telah lama mene­rima hakikat kehilangan anak lelakinya, seorang jurutera pesawat dan juga merupakan penumpang pesawat Boeing 777 berkenaan.

“Sebagai ayah, saya sudah la­ma reda dengan apa juga keputusan yang diberikan, cuma berharap agar sekurang-kurangnya dapat melihat bangkai pesawat itu dan misteri kehilangan MH370 terungkai.

“Selama ini hanya timbul macam-macam perkara sehingga ada mendakwa menemukan bangkai pesawat dan berita sebegini menimbulkan kekeliruan buat keluarga sehinggakan bila ada lagi muncul berita sedemikian, kami tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN