Mesin layan diri IPR diperluas ke kampus, hospital - Utusan Malaysia

Mesin layan diri IPR diperluas ke kampus, hospital

RAFIZI Ramli (tengah) dan Aminuddin Harun (kanan) mencuba mesin layan diri ketika mengadakan lawatan ke tapak Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Stesen Bas Terminal 1 Seremban, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penggunaan mesin layan diri menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan baru-baru ini akan diperluaskan ke lokasi tumpuan orang ramai seperti di kampus universiti dan hospital.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pemilihan lokasi-lokasi seperti itu mengambil kira ia sesuai untuk diletakkan makanan pada harga anggaran RM2 sehingga RM5 dan dapat memberi impak kepada orang ramai sekitarnya.

“Pada 21 Mac nanti, ia akan dilancarkan di kampus universiti iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam jadi kita akan pergi dari satu tempat ke satu tempat, permintaan itu memang terus masuk dari tempat-tempat yang menawarkan untuk beri ruang mesin layan diri ini.

“Hospital ada, pejabat swasta juga ada dan proses ini akan berterusan sepanjang masa. Memang itu perancangannya dan kita akan pergi ke tempat awam dan tempat-tempat yang ramai pengunjung ataupun kawasan yang kita tahu makanan pada harga RM2 hingga RM5 ini akan beri kesan yang besar seperti di kampus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tapak Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Stesen Bas Terminal 1 Seremban di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali.

Rafizi berkata, pihak kementerian kini sedang memuktamadkan seberapa banyak lokasi di seluruh negara bagi diletakkan mesin layan diri berkenaan dengan sasaran 5,000 orang penerima mesin tersebut.

“Menjelang akhir tahun saya jangka permohonannya adalah mencecah sehingga puluhan ribu tetapi kita kena ukur kapasiti industri yang menyediakan mesin layan diri ini kerana setiap satu mesin pihak operator perlu mengeluarkan kos sehingga RM30,000.

“Kerajaan tidak beli mesin ini hanya keluarkan bayaran sewa dan modal itu perlu dikeluarkan oleh operator mesin layan diri ini dan sumbangan kerajaan kepada industri melalui IPR ini adalah dengan meningkatkan penggunaan mesin ini di seluruh negara dan akan memesatkan industri itu.

“Modal mereka (operator) kena cari, kami berharap dan sedang kerjasama dengan industri ini supaya mereka pergi ke bank atau pemegang saham mereka supaya dapat menyunting wang dalam industri itu. Ikut sasaran walaupun permohonan itu boleh berpuluh ribu, saya ingat kapasiti kewangan industri ini, saya ingat 5,000 itu sesuatu yang praktikal yang boleh kita cuba usahakan dalam tempoh hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu katanya, dengan lebih banyak Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) IPR menerusi mesin layan diri ini ditempatkan di seluruh negara ia akan penuhi bukan sahaja permintaan penerimanya yang terdiri daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah dan miskin tegar tetapi juga boleh mempengaruhi penawaran makanan pada harga sekitar RM2 dan RM5 di seluruh negara.

“Walaupun ia akan mengambil sedikit masa tetapi kita mahu tetapkan momentum itu supaya lebih ramai penerima yang boleh turut serta dan lebih banyak tempat yang dapat manfaat daripada penawaran makanan dengan harga lebih murah,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya