PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan terus menjadi mangsa belasahan dalam kempen Piala Negara-Negara apabila kali ini giliran New Zealang membelasah Speedy Tigers dengan keputusan 5-1 dalam aksi ketiga Kumpulan A kejohanan di Cape Town, Afrika Selatan, hari ini.
Keputusan mengecewakan itu mencetuskan tanda tanya apa yang telah berlaku terhadap skuad hoki kebangsaan yang kini dibawah kendalian jurulatih baharu, Brendon Carolan.
Berdasarkan statistik perlawanan, skuad hoki kebangsaan hanya mampu memperolehi satu pukulan sudut penalti berbanding New Zealand lima malah turut berjaya menterjemahkan dua gol daripadanya.
Dalam aksi tersebut, pertahanan New Zealand, Kane Russell meledak dua gol masing-masing pada minit ke-18 dan minit ke-25.
Tiga lagi gol New Zealand masing-masing dijaringkan oleh Dylan Thomas pada minit ke-20, Isaac Houlbrooke minit ke-42 dan Jonty Elmes minit ke-51 manakala gol sagu hati Malaysia dijaringkan oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-55.
Berdasarkan rekod pertemuan, itu merupakan kekalahan kedua berturut-turut Malaysia di tangan New Zealand dan kali terakhir Speedy Tigers menewaskan mereka dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah pada 7 Mei 2024.
Terdahulu, Malaysia diaibkan dengan kekalahan 4-1 kepada Jepun dalam aksi kedua kumpulan, Jumaat lalu.
Kekalahan itu menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk mendapatkan slot ke peringkat separuh akhir kejohanan dan selepas ini Speedy Tigers dijadual bertemu Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan, esok. – UTUSAN










