Masjid, surau bukan tempat berbalah politik

Masjid, surau bukan tempat berbalah politik

SULTAN Sharafuddin Idris Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam, semalam. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang mewujudkan jurang perbezaan fahaman dan dendam politik yang tiada kesudahan.

Justeru, baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya memantau masjid dan surau di negeri itu bagi mengelak dijadikan medan aktiviti propaganda politik menjelang pilihan raya negeri.

“Ini berlaku lantaran terdapat penceramah-penceramah ter­tentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri Selangor, semalam.

Sultan Sharafuddin sekali lagi mengingatkan ahli Politik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak berkempen di masjid dan surau demi memastikan kesucian agama Islam terus dipelihara.

Malah, baginda turut menzahirkan sukacita terhadap usaha memperkasakan syiar Islam di Selangor yang memperteguh kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan di bawah Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Beta menyambut baik usaha kerajaan beta menyediakan RM65 juta khusus bagi tujuan pembangunan sekolah agama, masjid dan surau serta pejabat agama Islam.

“Kedudukan agama lain turut terpelihara di Selangor. Beta juga menyambut baik usaha kerajaan beta menyediakan peruntukan lebih tinggi pada tahun ini kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS) dengan peruntukan berjumlah RM8 juta berbanding RM6.3 juta tahun lepas,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian ekonomi negeri yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus pada 2021 iaitu lebih baik berbanding nasional (3.1 peratus) serta rekod Kutipan Hasil Negeri 2022 sebanyak RM2.533 bilion.

“Beta mengambil maklum prestasi pelaburan bagi tempoh Januari hingga September 2022, Selangor merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM9.70 bilion dengan 199 projek perkilangan yang diluluskan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.58 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM6.12 bilion adalah pelaburan asing. Sebanyak 11,601 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek perkilangan yang diluluskan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN