KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangka negara tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jangkaan itu berdasarkan takrifan kegawatan secara teknikal apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia 2023 pada kadar 4.4 peratus dan 4 peratus. Jangkaan ini adalah selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang diunjur dengan lebih perlahan pada tahun ini.
“Meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia, Insya-Allah tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023.
“Bagaimanapun, kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.
“Selain itu, kerajaan juga akan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta kerajaan menyatakan pelan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, bukan semua peminjam terkesan dengan peningkatan Kadar Dasar Semalam (OPR) kerana peningkatan ansuran bulan hanya melibatkan peminjam yang mempunyai pinjaman jenis berkadar dan terapung.
Katanya, setakat Disember 2022, sebahagian peminjam iaitu 50.3 peratus daripada akaun pinjaman dalam sektor isi rumah adalah pinjaman berkadar tetap berjumlah 6.4 juta akaun.
Menurutnya, dianggarkan 54.8 peratus daripada jumlah akaun pinjaman berasaskan kadar tetap melibatkan 3.5 juta akaun, bagi peminjam berpendapatan rendah iaitu kurang dari RM5,000 sebulan termasuk golongan berpendapatan rendah (B40).
Dalam perkembangan lain, katanya, jumlah kes muflis dalam kalangan individu di negara ini menurun sejak 2016 daripada 19,588 kepada 5,695 kes pada tahun lalu.
Katanya, trend penurunan itu meliputi kes muflis dalam kalangan belia berusia bawah 35 tahun yang mencatat 13.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada tahun lalu, berbanding 22.5 peratus dari 2017 hingga 2021. – UTUSAN










