Lawatan PM ke China tidak jejas hubungan Malaysia-AS

Lawatan PM ke China tidak jejas hubungan Malaysia-AS

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China yang dijadual empat hari bermula hari ini tidak akan memberi kesan kepada hubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Pengajian Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, hubungan dengan AS tidak sepatutnya terjejas kerana Malaysia bebas untuk melaksanakan dasar luar negaranya sendiri.

Menurut beliau, ini kerana Malaysia mengamalkan orientasi dasar luar negara yang sama sejak dari dulu iaitu bersahabat dengan semua negara kecuali Israel.

BERDAULAT

“Lawatan Perdana Menteri ke China menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang berdaulat dan boleh berkawan dengan mana-mana negara tanpa tekanan mahupun sekatan dari mana-mana negara.

“Ini dapat dilihat dari hubu­ngan diplomatik, politik, ekonomi mahupun sosiobudaya yang terbuka, serta bukan sahaja negara China, bahkan mana-mana negara yang mempunyai kepentingan sama.

“Malaysia memandang konflik AS-China sebagai sesuatu yang terasing dan tidak sepatutnya memberi kesan kepada negara untuk melaksanakan dasar luar negaranya yang bebas dan berkecuali,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Perdana Menteri dijadualkan akan mengadakan lawatan rasmi ke China pada 29 Mac hingga 1 April ini di mana beliau akan memulakan lawatan ke Hainan selama dua hari sebelum mengunjungi China pada 30 Mac dan 1 April.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Politik dan Hubungan Antarabangsa UUM, Profesor Dr. Mohd. Azizuddin Sani berkata, lawatan itu sangat signifikan kerana China merupakan sebahagian rakan dagangan terbesar Malaysia.

Sehubungan itu, menurut beliau, sekiranya negara tidak melaksanakan hubungan diplomatik yang harmoni, ia dibimbangi membawa masalah dari sudut perdagangan.

“Dalam konteks konflik AS-China, kita dikenali sebagai kuasa pertengahan atau middle power yang tidak berpihak kepada mana-mana. Kita masih lagi rapat dengan AS…berbincang banyak isu.

“Jadi, hak kita bersahabat dengan negara mana-mana, negara luar tak boleh masuk campur. Cuma kena ambil pendekatan bersahabat semua, kalau sekarang berkawan China, maka tidak boleh lepaskan hubungan dengan AS.

“Pendekatan neutral pen­ting untuk kemakmuran aktiviti ekonomi bersama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×