KUALA LUMPUR: Beberapa restoran makanan segera menyertai program Menu Rahmah yang menawarkan harga RM5 bagi set tertentu kepada pelanggannya.
Antaranya Texas Chicken Malaysia, Mios Kitchen, Bubblebee, Oldtown White Coffee, Temerloh Catering Sdn. Bhd. dan A&W Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau menghargai usaha pemain industri yang bekerjasama menjayakan program itu.
Beliau turut berterima kasih kepada beberapa kementerian yang terlibat memperluaskan program itu yang bertujuan meringankan beban rakyat.
“Kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengambil inisiatif dengan hampir semua premis di Rehat & Rawat (R&R) Utara Selatan menyajikan Menu Rahmah, ia sudah pasti memberi kegembiraan pengunjung.
“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah memberikan beberapa kemudahan penyewaan di semua premis universiti dari RM10 kepada RM3.50. Ini semua berita gembira kepada pelajar universiti yang dapat menikmati hidangan sampai malam. Dengan RM10 boleh bersarapan, makan tengah hari dan malam,” ujarnya.
Terdahulu kementerian beliau menganjurkan program Kenduri Menu Rahmah Kasih Sayang di Parlimen dengan penyertaan 15 jenama restoran.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Ahli parlimen kerajaan dan pembangkang turut serta.
Antara jenama yang terlibat Texas Chicken Malaysia, Mydin, Mios Kitchen, Bubblebee, Oldtown White Coffee dan Plus Malaysia Berhad.
“Sebagaimana yang saya janjikan, KPDN menganjurkan kenduri rahmah, kita pamerkan kepada masyarakat bahawa janji kita dengan rakyat bukan satu menu yang lekeh.
Saya ucap terima kasih kepada semua pemain industri, sekecil-kecil pun berniaga di bawah pokok, mereka tidak berkompromi tentang kualiti dan kuantiti,” katanya. – UTUSAN










