PETALING JAYA: Kerajaan seolah-olah menjadi ejen untuk menguntungkan institusi perbankan apabila bercadang memperkenalkan kaedah yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman sebagai cagaran.
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd. Tahir berkata, pihaknya dan kebanyakan pencarum membantah cadangan tersebut yang boleh membawa implikasi buruk kepada orang ramai.
Katanya, langkah itu merupakan satu cadangan yang membebankan hidup rakyat dan ia langsung tidak membantu meringankan permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.
“Pihak kami menerima banyak aduan melalui email dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pencarum yang membantah sekeras-kerasnya cadangan ini.
“Pihak kami juga telah mendapat makluman daripada peguam kami bahawa dalam Akta KWSP di bawah Seksyen 51 sendiri menyatakan caruman KWSP tidak boleh dicagarkan kepada pihak ketiga,’’ katanya di sini semalam.
Kata Azmi, apabila rakyat menuntut dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka baru-baru ini, rakyat sebenarnya mahu menggunakan wang itu untuk membayar hutang-hutang yang tertunggak sama ada dengan bank, syarikat kredit, ah long dan pinjaman peribadi daripada kenalan terdekat.
“Jadi, kalau mereka membuat pinjaman, itu bermakna mereka akan menambah lagi hutang sedia ada untuk selesaikan hutang yang lain,” katanya.
Justeru, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan menafikan tuntutan wang simpanan hasil titik peluh rakyat.
“Jangan samakan Malaysia dengan negara-negara lain kerana pendapatan rakyatnya tinggi dan kebenaran pengeluaran dari wang simpanan mereka lebih tinggi berbanding pengeluaran yang dibenarkan di negara ini,’’ katanya. – UTUSAN










