Kumpul warga profesional, pelbagaikan kaedah pelupusan sampah

Kumpul warga profesional, pelbagaikan kaedah pelupusan sampah

PENGURUSAN sampah negara perlu dimantapkan bagi mengelak masalah pada masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu serius mencari kaedah alternatif dalam menangani isu lambakan sampah termasuk mengumpulkan kumpulan pakar dan profesional dalam industri itu, selain mempelbagaikan kaedah pelupusan sisa pepejal itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penyelidikan dan Inovasi Alam Flora, Dr. Muhd Noor Muhd Yunus berkata, terdapat beberapa pendekatan yang boleh dilaksana dalam urusan pengurusan sampah.

“Paling utama adalah kita tidak boleh menumpukan pada hanya satu kaedah pelupusan. Kerajaan serta pihak-pihak ber­kaitan perlu berani berinovatif dengan mengadaptasi teknologi yang boleh digunakan.

“Untuk menjayakan usaha ini, kerajaan memerlukan pe­main-pemain industri yang terkemuka dan pendukung tek­nologi yang telah terbukti mampu melaksanakan pembaharuan.

“Masih boleh ketengahkan tek­nologi tempatan tetapi bagi teknologi ini, kita tidak banyak mempunyai rekod dan ini be­risiko merugikan keraja­an,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan Malaysia bakal berhadapan risiko lambakan sisa domestik berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan sehingga menyebabkan kira-kira 38,000 tan sampah sehari tidak dapat ditangani dengan baik terutama di kawasan perbandaran.

Selain itu, Muhd. Noor turut mengatakan masalah lambakan sampah boleh dihentikan sekiranya wujud keinginan politik dalam kalangan pentadbir negara pada masa ini.

“Ini bukan soal saling menyalahi satu sama lain dan semua perlu menggalas tugas dengan iltizam sama iaitu mencari solusi bernas supaya negara tidak terbeban dengan masalah sampah akan datang.

“Untuk memperbanyakkan kaedah pelupusan sampah, ini akan melibatkan kos yang tinggi maka sudah tentu ini bukan perkara yang mudah. Teknologi itu perlu setanding di luar negara namun tidaklah sehingga menelan perbelanjaan besar sekali gus,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN