Kuarters guru di Labis dibiar ‘berhantu’ - Utusan Malaysia

Kuarters guru di Labis dibiar ‘berhantu’

KUARTERS guru yang tidak dihuni di Pekan Labis bukan sahaja didakwa berhantu tetapi membazir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABIS: Sebanyak enam blok kuarters guru dibina bersebe­lahan Sekolah Kebangsaan (SK) Labis boleh diibarat sebagai ‘rumah hantu’ apabila bangunan itu terus kosong sejak siap dibina pada tahun 2008.

Pembinaan kuarters tersebut pada asalnya untuk menempatkan guru-guru yang mengajar di sekitar Labis namun malangnya selepas siap tidak pernah dihuni.

Keadaan bangunan yang terbiar beberapa tahun itu bukan sahaja mencacatkan pemanda­ngan malah timbul dakwaan kediaman yang berhadapan de­ngan Tanah Perkuburan Islam itu ‘dihuni’ makhluk halus.

Seorang lelaki mahu dikenali sebagai Rahman, 55, mempersoalkan tindakan membina banyak blok kuarters sedangkan kebanyakan guru yang mengajar di Labis sudah mempunyai kediaman masing-masing.

Katanya, dia juga sudah beberapa kali ‘diusik’ ketika melalui kawasan itu dan tidak berani melewati kawasan itu pada waktu malam.

“Pernah satu malam ketika melintasi kawasan kuarters guru ini saya terlihat seperti orang berdiri di tingkap salah satu bangunan itu dan apabila diamati betul-betul, kedengaran pula suara seperti wanita menangis.

“Menyedari tidak ada orang yang tinggal di bangunan itu, saya dan seorang rakan cepat-cepat meninggalkan kawasan itu dan tidak lagi berani untuk mendekati perumahan tersebut pada waktu malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Seorang penduduk, Rosli Mohamad, 41, berharap Kementerian Pendidikan segera menempatkan guru-guru atau kakitangan kementerian yang bertugas di kawasan berhampiran menghuni kuarters tersebut untuk membolehkan pembangunan yang melibatkan kos jutaan ringgit tidak disia-siakan.

Katanya, jika tiada jalan penyelesaian, adalah lebih baik bangunan itu diserahkan kepada kerajaan negeri untuk ditukar fungsinya supaya dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat daripada terbiar rosak.

“Bangunan ini juga sepatutnya dikawal selia dengan baik agar tidak menjadi macam rumah berhantu seperti yang ada sekarang, malah juga boleh dijadikan sebagai pusat penempatan mangsa bencana pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×