KOTA BHARU: Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan dicabar buat kali kedua sejak memimpin bahagian tersebut selama 64 tahun.
Kali pertama bekas Menteri Kewangan itu dicabar oleh bekas Ketua Pemuda ketika itu, Datuk Bazlan Baharuddin pada pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang 2013.
Untuk pemilihan kali ini ahli UMNO, Datuk Shaari Lembut dan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian, Che Izani Che Musa menawarkan diri untuk mencabar Ku Li.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang Ab. Aziz Yusoff berkata, individu yang menawarkan diri itu ialah Shaari Lembut dan Che Izani Che Musa.
Menurutnya, perebutan tiga penjuru untuk jawatan tersebut memberi isyarat jelas sistem demokrasi dalam UMNO masih lagi subur.
“Pemilihan ini akan berlangsung di Balai Rakyat Bukit Cekati. Jadi saya berharap perwakilan yang terlibat dapat hadir lebih awal bagi melancarkan pergerakan itu nanti,”katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ab. Aziz berharap para perwakilan dapat membuat keputusan yang tepat pada pemilihan itu nanti.
Katanya, keputusan tepat itu diperlukan bagi memastikan UMNO kekal kukuh dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai ini serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Terdahulu pada Sabtu lalu, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Gua Musang yang baharu bagi penggal 2023-2026.
Sementara itu, Norfadzlete Aryani Mat Rosli menang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian pada pemilihan yang berlangsung Sabtu lalu. – UTUSAN










