PETALING JAYA: Kertas dasar berhubung had tempoh khidmat Perdana Menteri kepada 10 tahun yang sudah diperhalusi akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk keputusan selanjutnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian bagi menjawab gesaan beberapa pihak agar kerajaan segera melaksanakan agenda reformasi institusi seperti yang dijanjikan parti yang menganggotai kerajaan perpaduan.
Menyentuh penggubalan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, Azalina menjelaskan perkara itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan sebaik sahaja ditubuhkan untuk menjalankan penglibatan sewajarnya dengan ahli Parlimen mengenai akta berkenaan.
Beliau menegaskan, pihaknya memberi jaminan bahawa komited kerajaan terhadap usaha reformasi institusi pentadbiran masih kekal agar memastikan beberapa langkah itu dapat membuahkan hasil.
“PSSC (Jawatankuasa Pemilihan) bermesyuarat untuk menilai bilangan jawatankuasa pilihan yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi, nantikan pengumuman Speaker mengenai perkara ini.
“Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, sebaik sahaja RCI (suruhanjaya diraja) diluluskan oleh Kabinet, kami akan melihat perkara ini sebagai salah satu Tors.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-undang menghargai maklum balas daripada semua rakyat Malaysia dalam melaksanakan usaha kami untuk penambahbaikan berterusan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa kerajaan perlu melaksanakan lebih banyak perkara dijanjikan oleh gabungan dan parti yang menganggotai kerajaan perpaduan.
Ia membabitkan pemisahan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara serta penubuhan suruhanjaya undang-undang yang bebas.
Menurut Azalina, terdapat banyak lapisan protokol dan kelulusan yang perlu dilalui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang untuk melaksanakan agenda pembaharuan ini.
“Kerajaan ingin memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa dengan sokongan anda dan dengan sokongan semua agensi dalam kerajaan perpaduan, kami akan lakukan yang terbaik untuk melihat pembaharuan ini,” jelasnya. – UTUSAN










