JOHOR BAHRU: Setiap keluarga mangsa banjir di negeri ini akan menerima bantuan daripada kerajaan negeri berjumlah RM300.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kesemua mangsa banjir tersebut layak menerima bantuan berkenaan walaupun mereka tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kerajaan negeri prihatin terhadap mangsa banjir dan kami barisan Exco telah berbincang dan mendapat persetujuan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk memberikan bantuan berjumlah RM300 kepada setiap keluarga.
“Kita juga akan selaraskan sama ada mangsa banjir yang berpindah ke PPS atau tidak atau yang berpindah ke rumah saudara-mara, semuanya layak menerima bantuan RM300 itu,” katanya dalam sesi secara langsung menerusi laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh.
Tian Soon turut memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang maklumat bantuan kepada mangsa banjir daripada kerajaan Pusat atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Ada yang bertanya sama ada akan terima bantuan daripada kerajaan Pusat atau Nadma, mengikut sejarahnya, memang ada, tetapi untuk banjir kali ini belum ada pengumuman dibuat oleh Nadma.
“Tidak mengapa, kita akan kutip data dahulu dan siapkan senarai mangsa banjir. Kita kumpul maklumat dan kerajaan negeri akan bekalkan kepada Nadma untuk proses seterusnya,” katanya sambil meminta semua mangsa banjir yang tidak berpindah ke mana-mana PPS untuk melakukan pendaftaran dengan mendapatkan borang di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau di PPS berhampiran selain daripada ketua kampung atau ketua masyarakat.
Katanya, kerajaan negeri menyedari mungkin ada yang sukar untuk mendaftar sebagai mangsa banjir kerana tidak berpindah ke PPS atau menumpang di rumah saudara-mara.
“Bagi yang di PPS tidak ada masalah, pendaftaran akan dibuat ketika masuk ke PPS, namun yang lain, boleh dapatkan bantuan daripada ketua kampung atau ketua masyarakat untuk dapatkan borang atau ambil sendiri di JKM atau PPS berhampiran. Apabila borang sudah siap diisi, boleh dihantar semula ke JKM, PPS atau ketua kampung untuk disahkan serta diserah kepada pejabat daerah yang juga bertindak sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” katanya. – UTUSAN