KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil pendekatan fleksibel dengan memberi kuasa kepada setiap universiti untuk menentukan langkah bersesuaian dalam menghadapi situasi cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, keputusan tersebut diserahkan kepada pihak pengurusan universiti memandangkan keadaan di setiap kampus adalah berbeza.
Katanya, bagi negeri-negeri di Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan, pengurusan universiti lebih tahu dalam menilai tahap risiko sama ada sesuatu situasi itu berada dalam -kategori bahaya atau sebaliknya.
“Justeru itu, pendekatan kita adalah lebih fleksibel dengan memberi ruang kepada universiti untuk membuat keputusan sendiri berdasarkan keadaan di kampus masing-masing.
“Pengurusan universiti akan memaklumkan kepada kementerian sekiranya terdapat situasi yang memerlukan tindakan lanjut,” katanya selepas Program Sembang Santai bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Perdana UniSZA, di sini.
Menurut Zambry, kementerian tidak menghalang mana-mana universiti untuk melaksanakan langkah sewajarnya termasuk menyesuaikan kaedah pembelajaran bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
“Dari segi dasar, kita tidak menghalang universiti mengambil langkah perlu bagi menangani situasi seperti kemarau atau banjir termasuk pelaksanaan pembelajaran dalam talian sekiranya bersesuaian,” katanya. – UTUSAN










