PETALING JAYA: Kerajaan digesa mendedahkan jumlah sumbangan tabung Akaun Amanah Bencana yang diwujudkan sebagai dana untuk pandemik Covid-19 melalui potongan gaji atau elaun penjawat awam.
Ia melibatkan sumbangan lebih 800,000 penjawat awam lantikan tetap dan kontrak melalui pengurangan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) atau Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi tempoh Julai, Ogos dan September 2021 mengikut gred masing-masing, yang dianggarkan dapat mengumpul lebih RM30 juta.
Tabung itu turut menerima sumbangan gaji 32 Menteri dan 38 Timbalan Menteri yang tidak diambil selama tiga bulan mulai Jun 2021, selain mengalu-alukan potongan elaun Lembaga Pengarah; potongan gaji dan elaun kakitangan awam, syarikat, badan berkanun, pertubuhan serta sumbangan secara one-off atau berkala.
Akaun tersebut diurusetiakan oleh Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan (GIC) di bawah Kementerian Kewangan dan ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan).
Namun, setelah lebih setahun, kerajaan belum mendedahkan jumlah kutipan bagi akaun tersebut, bagaimana kutipan tersebut diuruskan dan sama ada sumbangan tersebut digunakan sepenuhnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Adnan Mat mengakui, pihak beliau sendiri tidak pernah dimaklumkan mengenai status kutipan akaun tersebut.
Katanya, beliau hanya menganggap pengurangan elaun penjawat awam dibuat sebagai tanda solidariti bagi membantu kerajaan menangani Covid-19.
“Yang kami tahu, elaun ITK atau ITKA sememangnya dikurangkan selama tiga bulan termasuk gred 29 hingga 42 dan setara yang menyumbang sebanyak RM10.
WANG
“Selebihnya, kami tidak mengetahui secara terperinci bagaimana ia digunakan, namun wang yang disalurkan oleh penjawat awam adalah ikhlas dan ia adalah satu pengorbanan ketika pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, katanya, beliau merasakan lebih ramai penjawat awam yang membuat sumbangan terhadap akaun tersebut.
“Ini berdasarkan kepada jumlah penjawat awam sekitar 1.5 hingga 1.6 juta, jadi kita hanya boleh buat anggaran namun jumlah itu sendiri pun tidak dapat disahkan,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban kerajaan yang meningkat dalam memenuhi keperluan mendesak bagi perolehan pelbagai peralatan dan keperluan menangani pandemik Covid-19.
Ini termasuk keperluan di hospital mahupun vaksinasi sebagai contoh, peruntukan kepada Kementerian Kesihatan bagi menampung kos pembelian kelengkapan dan peralatan kesihatan bagi memerangi Covid-19.
Sebanyak 50 peratus elaun ITK dikurangkan bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20 peratus, JUSA C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus, manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.
Bagaimanapun, sumbangan penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan Gred 1 hingga 28.
Dalam laporan perbelanjaan kerajaan persekutuan 2021, sebanyak RM39 bilion diperuntukkan untuk Kumpulan Wang Covid-19 meliputi RM2.9 bilion perbelanjaan berkaitan Covid-19, namun Laporan Ketua Audit Negara 2021 melaporkan sebanyak RM2.686 bilion dibelanjakan untuk Covid-19.- UTUSAN










