Jumlah keseluruhan mangsa berkurangan, tapi di Batu Pahat bertambah - Utusan Malaysia

Jumlah keseluruhan mangsa berkurangan, tapi di Batu Pahat bertambah

BEBERAPA anggota polis melakukan kerja-kerja pembersihan sebuah rumah penduduk di Kampung Palembang Baru, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cuaca cerah hari ini pasti melegakan, khususnya bagi mangsa-mangsa banjir.

Malah, bilangan yang ditempatkan  179 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari tadi berkurangan menjadi 44,780 orang daripada 12,765 keluarga berbanding 45,048 mangsa daripada 12,746 keluarga yang direkodkan pada pukul 8 pagi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, daerah Kota Tinggi kini pulih sepenuhnya apabila 707 mangsa daripada 200 keluarga pulang ke rumah masing-masing.

“Enam PPS yang beroperasi di Kota Tinggi turut ditutup hari ini melibatkan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Semangar, SK Taman Kota Jaya, SK Sungai Telor, Dewan Raya Taman Kota Jaya, Sekolah Agama Taman Kota Jaya dan Sekolah Agama Desa Mahkota.

“Ia membabitkan penduduk Kampung Semangar Luar, Kampung Semangar Dalam, Kampung Sungai Telor, Kampung Kelantan, Taman Kemang, Kampung Panti dan Kampung Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Walau bagaimanapun, Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memberitahu bilangan mangsa banjir di Batu Pahat terus meningkat menjadi 35,818 mangsa daripada 10,032 keluarga.

Katanya, dalam tempoh empat jam sahaja, seramai 719 mangsa banjir di daerah tersebut berpindah ke 107 PPS yang masih beroperasi. 

“Jumlah mangsa banjir di daerah lain mencatatkan sedikit penurunan dengan seramai 4,057 mangsa di Muar, diikuti Tangkak dengan 2,424 mangsa, Segamat (1,215) dan Mersing (789).

“Sementara itu, banjir termenung di daerah Kluang menyaksikan jumlah mangsa banjir tidak berubah dengan seramai 477 mangsa,” katanya.

Sebanyak 10 sungai di Segamat, Muar dan Batu Pahat yang berada dalam kategori paras air berbahaya mulai menunjukkan trend penurunan, antaranya Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Muar di Bukit Kepong, Kampung Olak Sepam dan Pancor, Muar dan Sungai Bekok, Sungai Sembrong, Sungai Simpang Kanan dan Sungai Simpang Kiri di Batu Pahat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.