Banjir di Johor semakin pulih, 1,521 mangsa - Utusan Malaysia

Banjir di Johor semakin pulih, 1,521 mangsa

ANGGOTA bomba melakukan pemantauan keadaan banjir di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Banjir di negeri ini semakin pulih apabila seramai 619 mangsa daripada 184 keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sehingga pukul 2 petang ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, perkembangan positif itu juga menyaksikan sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup setakat ini.

Menurutnya, setakat ini seramai 1,521 mangsa daripada 419 keluarga masih ditempatkan di 17 PPS berbanding 2,140 penduduk membabitkan 603 keluarga direkodkan tengah malam tadi.

“Empat daerah masih dilanda banjir, iaitu Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat. Batu Pahat masih lagi menjadi daerah paling ramai bilangan mangsa banjir dengan jumlah terkini 879 orang daripada 246 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.

“Mangsa banjir di Mersing pula kini mencatatkan penurunan drastik, iaitu 329 mangsa membabitkan 87 keluarga di tiga PPS berbanding 823 daripada 241 keluarga di enam PPS.

“Di Kota Tinggi, seramai 223 mangsa membabitkan 59 keluarga ditempatkan di empat PPS berbanding 344 mangsa daripada 87 keluarga di lima PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat turut mencatat sedikit penurunan dengan mencatat 90 mangsa membabitkan 27 keluarga di tiga PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik setinggi 0.85 meter (m), manakala Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya