PARIT: Semakin dekat Ramadan semakin hiba. Demikian perasaan seorang warga emas yang menghuni pusat jagaan orang tua di Rumah Seri Kenangan di Seri Iskandar dekat sini.
Wanita berusia 69 tahun yang enggan dikenali mengakui sebak mengenangkan saat dia berbuka puasa bersama anak dan cucu-cucunya pada Ramadan setiap tahun sebelum ini.
Namun, malangnya kata warga emas itu, kegembiraan itu tidak akan dirasai lagi selepas berada di pusat jagaan itu.
Cerita wanita yang berasal dari Selangor itu, dia kini hilang harapan untuk kembali menikmati juadah berbuka puasa bersama tiga anak dan cucu-cucunya.
“Sejak dua tahun menghuni di rumah jagaan ini, anak-anak jarang menjenguk mak cik. Masa paling sedih sudah pasti ketika hari pertama Ramadan.
“Saya tidak tahu sama ada anak, menantu dan juga cucu-cucu masih ingatkan lagi mak cik. Jika ibu bapa mereka mendidik anak mereka supaya kenal saya, mereka mesti mencari saya di sini.
TIGA ANAK
“Saya mempunyai tiga anak namun tiada seorang pun mahu menjenguk serta membawa apa-apa untuk mak cik,” luahnya.
Katanya, dia mengetahui anak-anaknya kerap melalui jalan ini terutama ketika cuti sekolah untuk pergi berkelah di Teluk Batik.
Seorang lagi penghuni pusat jagaan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan, 65, mengharapkan anak dan adik beradiknya meluangkan masa melawatnya.
Katanya, dia mempunyai enam anak namun mereka tidak datang menziarahnya, begitu juga adik beradiknya.
“Sudah dua tahun saya duduk di sini, tidak pernah sesiapa datang menjenguk saya.
“Saya harap bulan puasa tak lama lagi, ada anak, saudara dan adik beradik datang tengok saya , jangan buang saya macam itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Rumah Kenangan Seri Iskandar, Nor Azlinda Ahmad Shaari berkata, pusat itu menjaga 94 orang tua daripada pelbagai kaum.
Menurutnya, pusat jagaan itu mula beroperasi pada tahun 2017, dengan 30 orang pada peringkat awal dan bertambah 94 orang tahun ini yang terdiri daripada mereka yang berusia lebih 60 tahun.
“Mereka yang berada di sini ada yang ditemui di jalanan, tidak ada waris, tidak ada sumber pendapatan, tidak boleh uruskan diri sendiri dan datang cara sukarela,” katanya.
Katanya, menjelang Ramadan diharap ramai waris datang melawat warga emas. – UTUSAN










