Jadual padat, Anwar terpaksa tolak lanjutkan lawatan di Arab Saudi - Utusan Malaysia

Jadual padat, Anwar terpaksa tolak lanjutkan lawatan di Arab Saudi

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram di Mekah baru-baru ini. – Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  menolak secara baik permintaan kerajaan Arab Saudi untuk melanjutkan tempoh lawatan ke  negara  itu seterusnya bertemu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi berkata,  Anwar terpaksa menolak pelawaan itu susulan jadual padat disusun   termasuk menghadiri majlis berbuka puasa dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan lawatan ke Kemboja.

Menurut beliau, semasa lawatan ke Arab Saudi, Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Mekah bagi membincangkan isu-isu mendepani masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Pihak kerajaan Arab Saudi telah meminta untuk lawatan ke Arab Saudi  dilanjutkan bagi menyusun pertemuan dengan pimpinan kerajaan Arab Saudi, namun Anwar  terpaksa menolak secara baik kerana beliau telah dijadualkan untuk hadir ke majlis berbuka puasa bersama Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah malam tadi..

“Perdana Menteri juga akan melakukan kunjungan rasmi ke Phnom Penh pada Isnin (esok), seterusnya Hainan dan Beijing pada Rabu bagi bertemu Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Premier Li Qiang,” kata beliau dalam kenyataan di Facebook. 

Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula 22 Mac lalu sebelum berangkat pulang pulang  semalam. 

Farhan tampil menjelaskan perkara itu selepas wujud suara-suara daripada beberapa pihak berkepentingan yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi. 

“Meski cubaan mereka untuk menggariskan lawatan berkenaan sebagai satu bentuk kegagalan dan pembaziran dana rakyat, saya ingin menegaskan bahawa lawatan tersebut sangat berhasil, malah memperkukuh hubungan Putrajaya-Riyadh meskipun dalam tempoh yang singkat Perdana Menteri di tampuk pemerintahan. 

“Saya menggesa kepada pihak yang kekontangan modal dan bankrap isu menghentikan polemik ini dan bersama mendukung usaha dan upaya Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya