Jadikan bahan binaan barang kawalan

Jadikan bahan binaan barang kawalan

KENAIKAN harga simen mengakibatkan ramai kontraktor terbeban kerana perlu mengawal kos projek dengan lebih ketat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan perlu menjadikan bahan-bahan binaan seperti besi, simen, konkrit, batu baur, batu bata dan kayu sebagai barang kawalan bagi memastikan harganya sentiasa terkawal dan stabil.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar berkata, selain pemantauan berterusan, kerajaan juga perlu menetapkan harga siling untuk bahan binaan asas bagi mengelak kontraktor kecil terbeban.

“Berbeza dengan kontraktor besar yang mungkin mampu membeli banyak, sekali gus dapat menikmati harga istimewa, kontraktor kecil hanya membeli barang diperlukan apabila ada projek dan biasanya dibeli dalam kuantiti yang sedikit.

“Kami terpaksa membeli pada harga pasaran dan bukan pada harga istimewa. Jadi, kami berharap ada pihak mengambil berat perkara ini dan cuba membantu mengatasi kenaikan harga bahan binaan yang tidak selesai sehingga kini,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, akhbar ini mela­porkan kontraktor berdepan dilema apabila harga bahan asas binaan terus mencatatkan kenaikan antara 15 ke 20 peratus sekali gus menyebabkan harga purata rumah kediaman turut meningkat.

Sebagai contoh, sebuah rumah berharga RM150,000 sebelum ini akan naik kepada RM180,000 seunit termasuk rumah mampu milik di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Ia akan menyebabkan kesukaran pembeli berpendapatan rendah dan sederhana untuk memperoleh pinjaman daripada institusi perbankan.

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak dilaporkan berkata, harga simen yang merupakan salah satu daripada Barang Kawalan Berjadual, melonjak naik sehingga 20 peratus iaitu daripada RM18 setiap beg seberat 50 kilogram kepada RM22.50 bulan ini.

Abd. Gapar berkata, apabila harga simen yang merupakan bahan asas pembinaan terus meningkat, harga barangan lain yang menggunakan simen seperti, konkrit, bumbung dan longkang juga akan turut naik.

Mengulas lanjut, Norhamila berkata, kerajaan perlu bertegas kepada pihak-pihak yang sengaja mengambil kesempatan terutama kartel dan pembekal yang sewenang-wenangnya menaikan harga bahan binaan.

Beliau berkata, kartel memang wujud malah terlalu lama berleluasa.

“Kumpulan ini boleh menaik­kan harga bahan-bahan binaan sesuka hati dan kebiasaannya sewaktu projek-projek mula ditawarkan dan sedang rancak dalam pembinaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×