
Mukadimah
DUA kali Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tersisih daripada terlibat dalam mesyuarat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lebih sedih, status permohonan MUDA menyertai Pakatan Harapan (PH) masih tergantung, selain usaha mengatur pertemuan belum terlaksana.
Ada juga laporan memetik PH terlalu sibuk sehingga tiada masa membaca surat dihantar MUDA walaupun sudah tiga kali dihantar sejak tahun lalu. Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bertemu Presiden MUDA, SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN di Parlimen semalam bertanya perkara itu.
UTUSAN: Bagaimana hubungan MUDA dengan PH selepas dua kali tidak dijemput ke mesyuarat kerajaan?
Syed Saddiq: Sebelum ini saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri yang cukup saya hormati, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membangkitkan hal ini. Cuma, saya dimaklumkan ia akan dibincang dengan pimpinan PH. Sebab itu saya menggunakan saluran betul dengan menghantar tiga surat sebelum ini untuk mengadakan perjumpaan. MUDA terlebih dahulu memohon (menyertai PH) sejak tahun lalu, sebelum pilihan raya umum lagi.
Selepas mesyuarat kerajaan diadakan, wakil-wakil MUDA tidak dijemput dan cara kami jawab ialah MUDA cuba mengurus isu ini secara dalaman yang mana kami telah mengutus tiga surat kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution. MUDA diberi tarikh berjumpa beliau untuk berbincang perkara ini secara teratur dan tertib, namun, pada minit terakhir, ia ditangguh.
Apa yang MUDA tuntut sekarang?
Dalam politik, apa sahaja boleh berlaku dan saya hormati apa pun pandangan daripada PH. Cuma, MUDA mahu kata putus sertai PH. Kami mohon supaya ada jawapan (susulan surat kami hantar) kerana itu akan membenarkan kami untuk berunding dengan lebih baik dengan PH. Kami perlukan jawapan supaya ada kemuktamadan untuk proses ini.
MUDA telah memberi kerjasama yang begitu lama dengan PH, tetapi keadaannya menjadi begini. Respons?
Ya, MUDA bukannya melompat parti daripada Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) ke PH. Sebelum penubuhan MUDA lagi, kami telah bekerjasama erat dengan PH, bukan setakat apabila mandat rakyat dibelakangkan.
Tapi,saya sanggup mengorbankan jawatan menteri, kena buang parti lama, ditawarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), semuanya saya tolak untuk menghormati mandat demi bersama-sama PH. Jadi, hubungan ini bukan baharu. Apabila ada pergolakan, saya tetap memberi sokongan kepada Anwar sebelum beliau menjadi Perdana Menteri. Jadi, MUDA konsisten sehingga kini.
Adakah kerjasama MUDA berbaloi selepas dua kali tidak dijemput mesyuarat?
Sebab itu mesyuarat ini penting kerana dengannya kita dapat mengurus dengan lebih baik. Apabila kami tidak dijemput hadir ke mesyuarat, ada yang kata MUDA akan dijemput ke mesyuarat yang seterusnya. Itu kata Perdana Menteri.
Tetapi, ada pula pandangan kedua daripada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan MUDA tidak dijemput kerana kami tiada tiga atau lebih kerusi Parlimen. Tetapi, yang saya lihat ada sahaja parti politik lain yang tidak mencapai syarat itu seperti MCA.
Saya tidak tahu bagaimana mahu urus dengan lebih baik sebab dua pihak cakap lain-lain.
Seberapa seriuskah ketegangan antara MUDA dan PH sekarang?
Saya tidak boleh menjawab bagi pihak PH tetapi MUDA sedang mencari jalan untuk menguruskan isu ini dengan lebih baik dalam masa terdekat. Cuma, kalau mahu katakan marah, sedih atau kecewa, dalam politik ia bukan lagi soal itu.
Fokusnya ialah hubungan antara MUDA dengan PH, kami dari dahulu berpendirian mahu berkhidmat untuk rakyat, jadi, kalau kawan atau lawan datang pada masa sama, yang penting adalah pengorbanan. Bukan untuk jawatan dan kuasa. Sebab itu, jika kerajaan ini memberi fokus pada reformasi, melaksanakan janji-janjinya, Insha-Allah kedua-dua kami tetap gembira. – UTUSAN










