JEMPOL: Seorang ibu sanggup mengenakan kostum watak kartun Doraemon semata-mata mahu menggembirakan anak sulungnya yang memasuki tahun satu, semalam.
Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 32, berkata, selain untuk anaknya, Nur Dhia Imani Norazli, 7, dia juga sememangnya berhasrat menggembirakan kira-kira 200 murid yang menghadiri hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Serting Ilir di sini.
Menurutnya yang berasal dari Kampung Serting Ilir, dia tidak kisah memakai kostum itu, malah anaknya juga sebenarnya sudah biasa melihat dirinya dalam keadaan begitu.
“Kostum Doraemon ini saya beli sejak lima tahun lalu, sebelum ini ia digunakan untuk menyambut pengunjung gerai makanan di Homestay Lonek. Kali ini saya pakai untuk menghiburkan anak saya malah seluruh warga sekolah.
“Anak tidaklah terkejut apabila melihat saya memakai kostum ini namun sedikit lucu apabila dia memberitahu Doraemon tidak pernah memandu kereta.
“Apabila sampai di sekolah dia pun tidak kisah berjalan bersama malah dia kelihatan teruja kerana dihantar Doraemon ke sekolah,” katanya.
Nurulazma Shafiqah yang merupakan bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia berkata, murid-murid sekolah juga gembira kerana saya turut membawa bungkusan coklat yang merupakan sumbangan daripada pemimpin masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, pihak sekolah menyambut baik inisiatif ini yang sememangnya mahu memberikan kelainan terutamanya murid tahun satu,” katanya. – UTUSAN










