Harga ayam, sayur dijangka naik

Harga ayam, sayur dijangka naik

ORANG ramai mungkin berdepan dengan kenaikan harga sayur dan ayam serta telur ekoran kekurangan bekalan menjelang Ramadan dan Aidilfitri, selain masalah banjir dan peningkatan permintaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan bara­ngan basah terutama sayur,­ ayam dan telur dijangka ber­kurangan sehingga 30 peratus menjelang ketibaan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, sekali gus mempe­ngaruhi harga di pasaran.

Situasi yang berlaku setiap kali Ramadan dan Aidilfitri itu pastinya akan menjejaskan pengguna apatah lagi sesi persekolahan bermula beberapa hari menjelang Ramadan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid berkata, kekurangan bekalan sayur dijangka berlaku kira-kira dua ming­gu lagi dengan pengura­ngan sehingga 30 peratus.

BANJIR

Menurutnya, kawasan penanaman sayur di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang dilanda banjir baru-baru ini adalah antara punca kekurangan bekalan itu.

“Berikutan itu, harga sayur dijangka naik sekitar 20 peratus akibat kekurangan bekalan. Jika perlu, kita boleh tambah bekalan melalui import dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia dengan sebuah syarikat pengeluar telur di Lembah Klang mendapati, syarikat tersebut menjangkakan berlaku pengurangan telur di ladangnya sebanyak 10 peratus menjelang Ramadan dan hari raya.

Sumber syarikat itu berkata, banyak pengusaha kuih raya yang meminta bekalan telur dari ladangnya merungut kerana tidak dapat memenuhi sepenuhnya permintaaan mereka.

“Sebelum ini, pengeluaran telur di ladang saya dalam sehari berjumlah 500,000 biji. Daripada jumlah itu, telur gred biasa berjumlah 480,000 biji sementara telur omega 20,000 biji.

“Tapi sekarang, kami cuma mampu mengeluarkan 450,000 biji telur sehari dengan 50,000 telur omega.

“Jadi, saya menjangkakan pengeluar kuih raya tahun ini akan menghadapi masalah ke­rana kekurangan telur di pasaran seluruh negara,” katanya.

KONTRAK

Dalam pada itu, dua wakil ladang ayam di selatan dan wilayah tengah yang dihubu­ngi berkata, pengeluaran ayam di ladang kontrak tidak dapat dipertingkat bagi memenuhi keperluan hari raya.

Sumber penternak kontrak wilayah selatan berkata, pengeluaran ayam setiap kali musim perayaan kebiasaannya me­ningkat 90 hingga 100 peratus berbanding keperluan harian negara iaitu 2.2 juta ekor.

Namun katanya, ladangnya cuma mampu menampung pengeluaran biasa sahaja iaitu sebanyaki 36,000 ekor ayam sehari, malah terpaksa bergelut dengan masalah kenaikan harga anak ayam sehari (DOC) yang mencecah RM3.80 seekor.

Dedahnya, masalah itu juga tidak mampu diatasi termasuk oleh pemain-pemain gergasi sektor ayam sekali gus dijangka mendorong kerajaan mengimport ayam dari sumber luar.

Bagaimanapun, bekalan da­ging dijangka mencukupi sekiranya Thailand dan Myanmar tidak menutup pintu sempadan atau mengehadkan bekalan ke negara ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Nordin Mat berkata, harga daging segar mampu dikekalkan seperti biasa jika tiada isu berbangkit termasuk penyakit berjangkit.

“Kini Malaysia mengimport hampir 70 peratus daging segar daripada negara jiran menyebabkan harga daging agak tinggi apabila bekalan berkura­ngan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN