Hanya jamah mi segera tiga hari terperangkap banjir - Utusan Malaysia

Hanya jamah mi segera tiga hari terperangkap banjir

LAPAN pekerja sebuah pasar raya diselamatkan anggota BBP Kota Tinggi selepas tiga hari terperangkap dalam kejadian banjir di Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Lapan pekerja sebuah pasar raya di pusat Bandar Kota Tinggi, di sini hanya menjamah mi segera selama tiga hari selepas terperangkap dalam kejadian banjir yang melanda daerah ini sejak kelmarin. 

Seorang mangsa, Fatin Anisah Che Anaf, 19, yang baru sebulan bekerja di pasar raya tersebut bersama-sama rakan-rakan lain mula ketakutan sehingga tidak lena tidur selepas melihat paras air banjir yang semakin meningkat.

“Kami menyewa di rumah kedai semuanya lapan orang bekerja di tempat yang sama. Memang tak sangka banjir kali ini luar biasa. Menurut rakan, biasanya banjir berlaku akan surut dalam sehari dua.

“Kami memang tidak tidur lena. Emak ayah pun mulai risau sama ada saya makan atau tidak. Selama tiga hari kami hanya makan mi segera, biskut dan air, berkongsi bekalan yang memang kami beli,” katanya yang tinggal di Felda Bukit Aping Barat. 

Terdahulu, kesemua pekerja terbabit yang tinggal menyewa di tingkat dua bangunan rumah kedai berhampiran Pasar Awam Kota Tinggi itu diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi menggunakan trak bomba.

Operasi menyelamat itu diketuai Pemangku Ketua Zon 2 Johor, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi yang memasuki pusat bandar ditenggelami air bah sehingga hampir dua meter.

Penyelia premis, Roziana Zaharuddin, 31, pula berkata, mereka memutuskan meminta bantuan diselamatkan kerana bimbang air bah menenggelamkan bangunan kedai dua tingkat itu.

Pada mulanya, dia beranggapan banjir tidak akan menjejaskan premis kedai berikutan banjir yang hanya menenggelamkan jalan keluar masuk ke pusat bandar.

“Namun melihat air bah semakin laju ke arah bangunan premis, selain air Sungai Johor sudah melimpah tengah malam tadi, saya tidak mahu ambil risiko.

“Jika air Sungai Johor melimpah biasanya bah akan jadi lebih dalam, berarus dan amat berbahaya. Selepas saya dan tujuh lagi pekerja mengemas  pakaian di tempat selamat dan lebih tinggi, saya akhirnya menelefon talian kecemasan bagi memohon dipindahkan.

“Apabila melihat kedalaman air bah ketika di atas trak bomba tadi, saya terkejut melihat parasnya amat dalam. Saya bersyukur kami semuanya akhirnya berjaya diselamatkan dan dibawa keluar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya