SHAH ALAM: Kejohanan Golf Perniagaan Asia (ABGC) 2026 dilancarkan hari ini sebagai hab utama bagi penglibatan korporat dan perniagaan di rantau Asia melalui sukan golf.
Pengerusi ABGC, Datuk Mohd Salim Mohamed Sain berkata, penganjuran ABGC akan bermula dengan tujuh pusingan kelayakan di seluruh negara.
Menurutnya, empat pusingan kelayakan akan diadakan di Selangor bermula pada 11 Jun ini di Kota Permai Golf & Country Club.
“Kejohanan turut diperluaskan ke tiga lokasi di luar Selangor iaitu di Royal Perak Golf Club (Perak), Horizon Hills Golf Club (Johor) dan Staffield Golf Club (Negeri Sembilan).
“Perluasan ke negeri-negeri lain ini dibuat bagi memberikan impak yang besar supaya ia boleh dikongsi oleh semua pemain golf di seluruh Malaysia.
‘Lokasi di Johor misalnya membolehkan pemain dari Singapura datang menyertainya,” katanya semasa majlis pelancaran Kejohanan Golf Perniagaan Asia (ABGC) 2026.
Peringkat akhir kebangsaan dijadualkan berlangsung di pulau peranginan Langkawi dari 11 hingga 14 Oktober depan.
Mohd Salim berkata, kejohanan itu mendapat sambutan daripada negara jiran apabila menerima pelbagai pertanyaan awal daripada pemain di Singapura, Brunei dan Indonesia.
“Setiap pasukan akan diwakili oleh dua orang pemain. Format pemarkahan adalah berdasarkan markah terbaik bagi setiap pemain menggunakan sistem Stableford dan kami menambah kiraan skor bersih pada tahun ini.
“Kemuncak kejohanan di peringkat antarabangsa dijangka berlangsung di Macau akan menghimpunkan wakil-wakil terbaik dari negara-negara Asia seperti Indonesia dan Thailand,” tambahnya.
Majlis pelancaran itu turut disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Penaung Diraja bagi kejohanan tersebut. – UTUSAN










