PETALING JAYA: Jenama suplemen terkemuka, Blackmores diumumkan sebagai pemenang anugerah utama Brand of the Year pada penganjuran sulung Malaysia Health & Beauty Awards baru-baru ini.
Pengiktirafan tertinggi itu mengukuhkan kedudukan Blackmores sebagai jenama pilihan yang paling dipercayai dan diyakini oleh pengguna di negara ini dalam menjaga rutin kesihatan harian mereka.
Pengurus Negara Blackmores Malaysia, Chong Kim Heng berkata, kemenangan tersebut selaras dengan misi global Blackmores untuk menghubungkan satu bilion rakyat di dunia kepada kuasa penyembuhan alam semula jadi menerusi warisan jenama dari Australia itu.
Katanya, selaras dengan trend peningkatan populasi masyarakat berusia di Malaysia, jenama itu komited untuk terus memperjuangkan gaya hidup aktif serta agenda penuaan yang sihat.
“Kami menterjemahkan komitmen ini menerusi penawaran kira-kira 55 produk berkualiti tinggi yang kini sedia ada di pasaran tempatan bagi memenuhi keperluan kesihatan dan kecantikan pengguna,” katanya ketika ditemui media selepas Malaysia Health & Beauty Awards 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy di bawah BIG CARING Group.
Bertemakan ‘Celebrating Health. Honouring Beauty’, anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan produk merentasi tiga teras utama iaitu Pilihan Malaysia, Produk Terlaris dan Pilihan Pakar.
Majlis anugerah berkenaan turut menampilkan ucaptama oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Haji Noor Hisham Abdullah, yang menyifatkan platform ini sebagai penanda aras utama kecemerlangan sektor kesihatan dan kecantikan tempatan berdasarkan nilai kepercayaan pengguna.
Bagi edisi sulung ini, sebanyak 110 anugerah telah disampaikan yang merangkumi 83 anugerah Produk Terlaris, 19 anugerah Pilihan Malaysia dan tujuh anugerah Pilihan Pakar hasil daripada lebih 200,000 undian yang diterima daripada pengguna di seluruh negara.
Selain Blackmores, lebih 80 jenama ikonik lain turut muncul sebagai pemenang dalam pelbagai kategori antaranya Cetaphil, Lang Bragman, VitaHealth, Ensure, PediaSure, CeraVe, Kordel’s, Eurobio, Buds Organics, Sensodyne dan La’Miux.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Wong Siew Lai berkata, anugerah tersebut berjaya mencerminkan tingkah laku pengguna sebenar di Malaysia yang kini dilihat lebih teliti dan bijak memilih produk berasaskan hasil yang konsisten, bukannya sekadar mengikut trend semasa.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIG CARING Group, Lee Meng Chuan berkata, platform pengiktirafan seperti ini sangat penting dalam menggalakkan inovasi industri, meningkatkan standard perkhidmatan farmasi komuniti, sekali gus terus memacu pertumbuhan sektor kesihatan domestik. – UTUSAN










