GLC kena tingkat jumlah ahli lembaga pengarah wanita

GLC kena tingkat jumlah ahli lembaga pengarah wanita

ANWAR Ibrahim bersama penerima-penerima anugerah sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIS RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta meningkatkan jumlah wanita sebagai ahli lembaga pengarah yang setakat 31 Di­sember lalu hanya pada kadar 29 peratus sahaja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua GLC supaya peranan wanita mempunyai pe­ningkatan nyata.

“Kita hadapi sekarang di sektor swasta, sektor kerajaan ada kemajuan dengan jumlah penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan gred utama C ke atas adalah 38.8 peratus.

“Saya mahu semua GLC ambil perhatian, semua pelantikan baharu di GLC dan peluang-peluang kenaikan pangkat, saya mahu satu perubahan, tentunya beransur-ansur, mempunyai kelayakan, tapi mesti ada peranan nyata dalam mening­katkan peranan wanita,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda di sini, semalam.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Pada masa sama kata Anwar, Bilangan ke­anggotaan Ahli Dewan Negara dalam kalangan wanita mungkin ditambah memandangkan penglibatan kumpulan itu dalam politik masih rendah.

Katanya, pada masa ini peratusan wakil wani­ta dalam Dewan Rakyat menurun dari 14.9 peratus pada 2021 kepada 13.5 peratus pada 2022.

Dalam pada itu, Anwar menegur sikap suami yang masih berkira-kira untuk memberi sumbangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada isteri.

“Saya harap terutama suami dalam kalangan penjawat awam, pimpinan politik kita akan se­naraikan siapa yang enggan.

“Saya rasa kita harus meminta ketua jabatan dan GLC untuk memastikan pekerja beri sumbangan,” katanya.

Jelasnya, sebagai menghargai sumbangan isteri, kerajaan memperkenalkan i-Sayang, iaitu satu inisiatif yang membolehkan suami memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja secara sukarela ke akaun isteri.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, meskipun kerajaan telah banyak melaksanakan agenda dan dasar bagi mengangkat serta memperkasa wanita, namun ia belum mencukupi.

Katanya, tidak cukup sekadar hanya pengiktirafan tetapi masih berlaku gangguan seksual dalam kalangan wanita.

“Saya singgung sedikit agak aneh dalam negara memba­ngun, ada orang masih mempertikai peranan wanita.

“Masih ada fahaman dan a­liran sama ada memandang remeh dan menggunakan hujah seolah-olah kemajuan harus dikekang, ada mengatakan urusan wanita patut berada di rumah tangga sahaja,” katanya.

Sebaliknya tegas Anwar, pe­ranan wanita khususnya dalam sejarah Islam amat dititikberatkan apabila golongan itu memberi peranan besar dalam peristiwa Hijrah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×