Gerakan sedia terima Pejuang dalam PN

Gerakan sedia terima Pejuang dalam PN

PEJUANG diyakini mampu menguatkan lagi Perikatan Nasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sedia menerima Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, beliau tidak fikir wujud kekangan atau masalah untuk parti dipimpin Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu diterima sebagai parti komponen PN.

Bagaimanapun, katanya, segala keputusan akan diputuskan setelah kesemua parti komponen PN berbincang dengan Pejuang dalam mesyuarat yang mungkin diadakan pada minggu hadapan.

Katanya, keberadaan Pejuang dalam PN akan menguatkan lagi struktur politik gabungan yang mana Pejuang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berperanan dalam menarik sokongan Melayu Islam manakala Gerakan menumpukan kepada penyatuan ‘anak Malaysia’.

“Saya telah pun terima surat dari Pejuang yang menyatakan hasrat mereka sertai PN, Mukhriz pun telah hubungi saya dan kita akan berjumpa tidak lama lagi.

“Penyertaan Pejuang ini kerana ia merangkumi semua bangsa, kaum dan agama. Jadi, soal nilai-nilai Pejuang miliki yang boleh membantu mengukuhkan PN terutama dalam pilihan raya, ini semua akan dibincang tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin baru-baru ini memaklumkan, permohonan Pejuang akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman secara peribadi membantah permohonan Pejuang menyertai PN kerana melihatnya sebagai tindakan terdesak dan oportunis.

Mukhriz sebelum ini dilaporkan mahu menjadi salah satu komponen dalam PN yang bertujuan memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya.

Semasa Perhimpunan Agung Pejuang pada Januari lalu, parti itu menyenaraikan beberapa pilihan setelah mengambil keputusan keluar daripada gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diasaskan bekas Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN