GEORGE TOWN: Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor dijangka memilih Pulau Pinang untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.
Bekas Ketua Pemuda PKR itu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu walaupun parti tersebut belum membuat keputusan mengenainya.
‘’Saya mungkin bertanding di Pulau Pinang, namun parti belum buat keputusan,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Dalam pada itu, menurut Ezam, PRM akan bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada PRN nanti.
Kerusi DUN itu adalah di kawasan pulau iaitu kerusi Air Putih; Tanjung Bunga; Pulau Tikus; Kebun Bunga; Seri Delima; Sungai Pinang; Air Itam, Pantai Jerejak; Batu Maung dan Teluk Bahang.
Sementara itu, lima lagi kerusi DUN yang bakal ditandingi adalah di kawasan Seberang Perai namun kerusi terbabit akan diumumkan kemudian.
Katanya, PRM memberi tumpuan penuh kepada Pulau Pinang bagi memberi saingan kepada DAP yang mendominasi negeri itu sejak sekian lama.
‘’Saya sendiri akan turun membantu kempen calon-calon PRM di Pulau Pinang kerana kita mahu memberi saingan kepada kerusi-kerusi DUN milik DAP.
‘’Kami yakin akan memenangi sekurang-kurangnya lima daripada 15 kerusi yang dipertandingkan di Pulau Pinang,’’ ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), PRM bertanding di lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu kerusi Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal, namun kalah kesemua kerusi terbabit.
Menurut Mohamad Ezam, matlamat PRM untuk meletakkan calon-calon daripada parti itu pada PRN adalah untuk mewujudkan pasukan pembangkang yang kuat di Pulau Pinang.
‘’Disebabkan tiada pembangkang yang kuat, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menjadi dominan.
‘’Lihat sahaja kejadian di mana empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diarahkan mengosongkan kerusi mereka pada sidang DUN baru-baru ini, ia adalah sesuatu yang buruk bagi demokrasi,’’ katanya. – UTUSAN










