Denggi: Jangkitan melonjak 150%, kematian 180% - Utusan Malaysia

Denggi: Jangkitan melonjak 150%, kematian 180%

AKTIVITI kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes merupakan antara tindakan bagi mencegah kes demam denggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes kumulatif jangkitan denggi pada 2022 meningkat lebih 150 peratus berbanding tahun sebelum­nya manakala angka kematian melonjak sehingga 180 peratus dalam tempoh sama.

Berdasarkan statistik Kemen­terian Kesihatan, sebanyak 66,102 kes denggi dicatat­kan sepanjang tahun lalu iaitu penambahan 39,737 kes berban­ding 26,365 pada 2021.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 56 kematian akibat komplikasi denggi tahun lalu berbanding hanya 20 kematian bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan 36 kematian atau 180 peratus.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, faktor peningkatan kes denggi mempunyai hubung kait dengan pergerakan manusia ketika semua sektor dibuka selepas pandemik Covid-19 menyebabkan virus daripada nyamuk aedes mudah tersebar ke tempat lain.

Selain itu, tabiat segelintir masyarakat yang tidak membuang sampah di tempat pelupusan sistematik turut menyumbang kepada tempat pembiakan aedes.

Faktor cuaca, suhu serta bencana banjir yang dialami turut mempengaruhi perkembangan nyamuk dan larva yang menyebabkan populasi aedes meningkat seterusnya menyebarkan virus denggi.

RAMAI

Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Madya Dr. Verna Lee Kar Mun menyifatkan, peningkatan jumlah kes denggi menunjukkan masih ramai yang tidak berjaga-jaga dengan risiko dijangkiti terutama pasca Covid-19.

Sedangkan, katanya, denggi mempunyai gejala yang lebih teruk daripada Covid-19 sehingga perlu mendapat rawatan segera.

“Memang benar gejala awal lazimnya tidak ketara kerana demam adalah tanda banyak penyakit lain tetapi pesakit denggi selalunya mengalami demam tinggi secara tiba-tiba, sedangkan Covid-19 misalnya, permulaan demam itu lebih lambat.

“Ujian antigen pantas denggi S1 boleh mengesan demam denggi pada hari pertama. Usahlah berlengah-lengah untuk mendapatkan nasihat perubatan jika tiba-tiba mengalami demam panas,” katanya.
Pada masa sama, menurut beliau, peningkatan kes denggi juga berlaku kerana usaha pencegahan yang dilakukan masih tidak mencukupi.

“Penyemburan hanya membantu membunuh nyamuk aedes dewasa manakala membersihkan air bertakung di longkang-longkang awam dan tempat lain pula hanya boleh mencegah tempat pembiakan nyamuk.

KOS

“Usaha-usaha ini membabitkan kos dan tenaga yang banyak dan kesannya tidak menyeluruh. Pada tahun 2009 dan 2010, anggaran kos dibelanjakan sebanyak RM777 juta dan ia pasti lebih tinggi sekarang. Terdapat bukti nyamuk sudah kebal kepada racun serangga biasa yang digunakan dalam penyemburan,” katanya.

Kata Verna, walaupun pihak berkuasa sudah menjalankan kaedah-kaedah pengujian baharu seperti penggunaan nyamuk yang diubah suai genetiknya di lokasi panas serta vaksin namun masyarakat masih perlu memainkan peranan dari rumah.

“Kita kena ingat yang kita boleh kuarantinkan manusia tetapi kita tidak boleh berbuat yang sama kepada nyamuk kerana ia ada di mana-mana.

“Kita perlu berusaha lebih kuat untuk melindungi diri dan keluarga dengan memastikan kawasan rumah bebas tempat pembiakan nyamuk, pakai pakaian yang menghalang kulit daripada terdedah dan menggunakan ubat nyamuk, terutamanya pada waktu senja dan subuh,” katanya.

Negeri yang dilanda banjir sebelum ini disarankan melaksanakan aktiviti pembersihan longgokan sampah serta sisa seminggu selepas air surut untuk mengelak lokas itu menjadi tempat pembiakan aedes.

Pihak berkuasa tempatan juga diminta memastikan urusan pelupusan sampah berjalan sempurna dan teratur manakala masyarakat diingatkan agar menjalankan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan aedes di kawasan persekitaran kediaman masing-masing setiap minggu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN