Cukai barangan mewah tidak jejas sektor pelancongan

Cukai barangan mewah tidak jejas sektor pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai barangan mewah tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, pembelian barangan mewah bukan tarikan utama bagi pelancong dan sektor itu juga melibatkan tarikan berkaitan budaya serta khazanah dalam negara ini.

“Mereka datang untuk melawat pusat pelancongan, melihat khazanah negara serta membeli kraf tangan tempatan.

“Pada masa sama, akan ada pelepasan cukai untuk pembe­lian barangan kraf tangan Malaysia. Jika kita melihat dari sudut itu, kita sebenarnya mengga­lakkan lebih ramai pelancong untuk datang,” katanya ketika ditemui media di Bangunan Parlimen semalam.

Steven mengulas perkara itu susulan wujud gesaan supaya kerajaan pertimbangkan pelaksanaan cukai tersebut kerana dikhuatiri akan membantutkan tarikan pelancong ke Malaysia.

Tambahnya, cukai itu hanya terpakai kepada barangan yang diklasifikasikan sebagai barangan mewah dan tidak melibatkan barangan keperluan seperti makanan dan telefon bimbit.

Pelaksanaan cukai barangan mewah bertujuan mengembangkan sumber kutipan cukai negara, selain mewujudkan satu sistem percukaian lebih progresif tanpa mengetepikan impak dan kejutannya kepada industri.

“Kami sedang mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk sektor peruncitan dan pelancongan untuk melihat bagaimana impak dan kejutan kepada industri dapat dikurangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN