Buktikan ‘dakwaan terancang’ di mahkamah

Buktikan ‘dakwaan terancang’ di mahkamah

MUHYIDDIN Yassin bercakap dalam sidang akhbar selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mana-mana pe­mimpin politik yang mendakwa pen­­dakwaan yang dibuat ke atas me­reka sengaja dirancang perlu mem­buktikannya semasa perbi­ca­raan di mahkamah.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, pasukan pembelaan boleh mengemukakan keterangan ketika soal jawab jika mempunyai bukti dan hujah kuat bagi menguatkan wujudnya dakwaan pertuduhan terancang.

Katanya, cara tersebut lebih baik berbanding mengeluarkan kenya­taan di luar mahkamah yang seolah-olah menunjukkan wujud campur tangan dalam proses undang-undang negara ini.

“Jika tidak puas hati, boleh kemuka bukti semasa soal jawab di mahkamah kelak. Akhirnya mahkamah sendiri yang buat keputusan berdasarkan keterangan, bukannya berdasarkan persepsi semata-mata.

“Undang-undang negara ini ada, proses bermula di mahkamah rendah kemudian boleh dirayu ke mahkamah atasan, akhirnya Mahkamah Persekutuan selaku badan terakhir untuk memutuskan sama ada rayuan diterima atau sebaliknya. Perkara ini terpakai untuk semua rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin mendakwa enam pertuduhan terhadapnya telah dibuat lebih awal sedangkan siasatan masih belum dilengkapkan.

Sambil menyifatkan ‘pertuduhan terancang’, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan mendakwa beliau sebenarnya dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.

Bagaimanapun Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menegaskan, keputusan mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu adalah berdasarkan ke­terangan dan fakta penyiasatan.

Menurut Abu Talib, Jabatan Peguam Negara tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan pendakwaan tanpa keterangan kukuh yang berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa setelah mera­kam keterangan saksi terlibat.

Ujarnya, Peguam Negara boleh menolak cadangan pendakwaan jika maklumat tidak lengkap.

“Ini proses yang berlaku sebelum Peguam Negara membenarkan atau tidak terhadap cadangan pendakwaan. Namun ada segelintir pemimpin politik merasakan pendakwaan terhadap mereka adalah pertuduhan politik tetapi asas utama menentukan seseorang itu boleh didakwa atau sebaliknya adalah berdasarkan hasil siasatan.

“Ini kerana Peguam Negara mengemukakan pendakwaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan keterangan tanpa mengira status dan latar belakang. Malah sebelum ini, terdapat banyak pemimpin politik didakwa termasuk seorang bekas Perdana Menteri yang pernah didapati bersalah, malah ada satu kes dilepas bebas,” ujar beliau.

Sementara itu pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kenyataan di luar mahkamah tidak memberikan kesan terhadap pembuktian kes dan perkara itu haruslah dikemukakan ketika pembicaraan.

Namun, beliau berpandangan tiada menjadi kesalahan kepada Muhyiddin untuk mengeluarkan kenyataan, namun perkara itu tidak membawa makna kerana mahkamah akan menilai berdasarkan bukti sepanjang pembicaraan berlangsung.

“Peguam Negara pun mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan keadaan. Masing-masing ada asas keluar kenyataan, tetapi akhirnya mahkamah yang menentukan berdasarkan fakta sama ada pendakwaan ini curang atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, Muhyiddin mungkin dilihat terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian setelah melihat kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri dan Pre­siden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menge­lakkan daripada ditohmah sebagai individu terpalit dengan kes salah guna kuasa.

“Perkara sama berlaku kepada Datuk Seri Najib Razak sebelum ini, beliau dilihat sering menepis dakwaan membabitkan kes dihadapinya di luar mahkamah, tetapi akhirnya hakim bicara yang menentukan keterangan sepanjang prosiding berlangsung,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Pre­siden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan salah gunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta.

Beliau merupakan bekas Perdana Menteri kedua negara ini dan individu ketiga daripada Bersatu yang didakwa di mahkamah.

Pada 21 Februari lalu, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM7 juta dan meminta rasuah sebanyak RM232 juta berkaitan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

Turut didakwa Timbalan Ke­tua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Shah Alam atas lima pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah RM4.1 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN