PETALING JAYA: “Setahun tak ada tawaran berlakon. Orang dah tak nak panggil saya lagi. Mungkin saya sudah tua, orang tak nampak. Bila sakit terlantar, duit sudah tidak ada.”
Itu luahan pelakon berbakat besar, Jalil Hamid, 65, yang terasa ibarat dipinggirkan dari industri seni dan kini berada dalam kesesakan hidup terutama selepas mengalami masalah jantung dan sesak nafas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jalil berkata, keadaan kesihatan juga menyebabkan dia terpaksa berehat sahaja di rumah namun jika ada tawaran, dia masih boleh menggagahkan diri untuk memenuhi tuntutan kerja.
”Terus terang cakap, setahun ini memang saya tak ada pendapatan langsung. Nak harapkan bantuan, nanti orang mengata. Artis suka menagih simpati, meminta-minta.
“Ada satu kali saya dipanggil untuk jadi artis undangan. Itu sahajalah. Selebihnya, saya duduk di rumah menanti tawaran. Orang kita tak pandang sangat pelakon lama.
“Sekarang sudah sakit, sumber pendapatan tiada. Saya tak mengharap apa-apa, cukuplah jika ada yang sudi berkongsi rezeki dengan tawaran berlakon dan sebagainya,” katanya yang juga seorang penyanyi.
Ditanya tentang keadaan kesihatannya, Jalil berkata, dia terpaksa mengehadkan pergerakan buat masa ini selepas masalah jantung memberi impak kepada pernafasan dan sistem pemakanannya.
Tambah pelakon Bisik Pada Langit itu, dia telah dibenarkan pulang ke rumah namun masih perlu memantau tahap oksigen.
“Saya menjalani pembedahan Julai tahun lalu. Ada sedikit komplikasi yang memberi kesan kepada jantung. Doktor juga belum memberi sebarang jaminan tempoh pemulihan.
“Sistem pemakanan saya juga semakin lemah dan perlu dipantau. Setakat ini saya duduk di rumah sahaja. Alhamdulillah, ada isteri dan ahli keluarga yang menjaga,” ujarnya sebak. – UTUSAN










