PETALING JAYA: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dilantik sebagai Senator Dewan Negara berkuat kuasa semalam.
Beliau mengangkat sumpah di Parlimen, setelah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mewakili Labuan.
“Saya komited untuk menegakkan prinsip demokrasi, tadbir urus yang baik, dan kedaulatan undang-undang dan akan bekerja ke arah kebaikan negara dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.
“Saya berharap dapat menyumbang kepada perbincangan dan perbahasan bermakna yang akan membentuk masa depan Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara di persada global,” katanya dalam kenyataan.
Beliau sebelum itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kepercayaan dalam menyokong pelantikan itu.
Pemimpin berusia 69 tahun itu adalah penasihat khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri Sabah sejak awal tahun ini.
Beliau merupakan sebahagian daripada 16 individu yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara semalam.
Pelantikan itu juga melibatkan tokoh bahasa, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Low Kian Chuan.
Selain itu, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli; Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, Datuk C. Sivaraj dan Ketua Pemuda Amanah, Mohd. Hasbie Muda turut dilantik sebagai senator. – UTUSAN










