MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu hari ini.
Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka sebelum ini dinamakan calon Ketua Menteri Melaka Ke-13 menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang meletak jawatan atas alasan kesihatan.
Perkara itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah mencadangkan pengganti Ketua Menteri itu melalui sepucuk surat kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Katanya, peletakan jawatan Sulaiman disebabkan alasan faktor kesihatan.
“Saya telah mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka untuk menerima peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka.
“Dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Ab. Rauf sebagai Ketua Menteri baharu, noktah, ia telah dipersembahkan,” katanya ketika ditemui di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dijadual berlangsung 3 petang.
Isu pertukaran pemimpin utama Melaka mula hangat diperkatakan beberapa bulan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu pada 20 November 2021.
Bagaimanapun ia dinafikan kepemimpinan negeri dengan menyatakan kesemua ADUN memberi sokongan kepada Sulaiman.
Sementara itu, ditanya sama ada barisan exco baharu akan membabitkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), Ahmad Zahid berkata, pelantikan itu bakal mengambil semangat pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat Pusat.
“Saya membincangkan barisan exco oleh kerana kita mengambil semangat kerajaan perpaduan yang berjalan baik di nasional, saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tetapi rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari berkata, Mohd. Ali telah menerima surat peletakan jawatan Sulaiman selaku Ketua Menteri Melaka Ke-12.
“Berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka hendaklah melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Ab. Rauf memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara dalam PRN Melaka dengan majoriti 364 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon PH, Zainal Hassan.
Beliau kemudian dilantik sebagai Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka.
Semasa pengambilalihan kerajaan negeri daripada PH pada Mac 2020, Ab. Rauf yang ketika itu bukan ADUN telah dilantik memegang jawatan Yang Dipertua DUN Melaka.
Sementara itu, Sulaiman meninggalkan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada pukul 11.03 pagi, semalam.
Sulaiman mengangkat sumpah kali pertama sebagai Ketua Menteri pada 9 Mac 2020 diikuti kali kedua pada 21 November 2021 selepas BN memenangi 21 kerusi DUN dalam PRN.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial dipercayai Sulaiman mengadakan pertemuan terakhir bersama kakitangan Pejabat Ketua Menteri.
ADUN Lendu itu berkata, beliau tidak mampu lagi memperoleh kakitangan yang disifatkan mempunyai contoh terbaik dan sudah pasti jasa serta budi baik semua akan dikenang selagi hayat dikandung badan.
Beliau berharap semua kakitangan dapat memberikan layanan yang sama kepada Ketua Menteri baharu tanpa sedikit pun kekurangan seperti mana terhadap beliau selama ini.
“Saya tidak sedih untuk meninggalkan jawatan ini, saya tidak sedih untuk meninggalkan kerusi yang empuk di tingkat empat Seri Negeri ini, tetapi saya sedih untuk meninggalkan semua kakitangan saya yang baik, cemerlang dalam perkhidmatan serta sentiasa jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.
“Saya tidak mampu lagi memperoleh staf seperti ini dan sudah pasti jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan,” katanya. – UTUSAN









