30 peratus lot setiap bazar Ramadan di NS tawar Menu Rahmah - Utusan Malaysia

30 peratus lot setiap bazar Ramadan di NS tawar Menu Rahmah

S. Veerapan (lima dari kanan) dan Muhammad Zahir (enam dari kanan) memilih pakaian sekolah untuk diberikan kepada kanak-kanak pada rogram Cintai Asnaf ‘Back To School’ di Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penganjur-penganjur bazar Ramadan di seluruh Negeri Sembilan diharap untuk dapat menyediakan 20 hingga 30 peratus dari lot bazar Ramadan mereka bagi jualan hidangan Menu Rahmah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, taklimat mengenai jualan hidangan Menu Rahmah pada harga RM5 itu telah diberikan kepada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur.

“Pihak KPDN negeri ini bersama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah memberi taklimat kepada 60 penganjur bazar Ramadan dalam daerah Seremban mengenai penyedian Bazar Ramadan Rahmah ini. 

“Bagi daerah lain pula ia akan diadakan pada 15 Mac depan. PBT termasuk penganjur bazar Ramadan telah dimaklumkan agar sama-sama menawarkan menu Rahmah kali ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Cintai Asnaf ‘Back To School’ di Seremban 2, di sini hari ini. 

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

Ia merupakan program amal yang dianjurkan KPDN dengan kerjasama pasar raya Mydin Seremban 2 bagi meringankan kos sara hidup keluarga berpendapatan rendah bagi persiapan persekolahan.

Sementara itu, Muhammad Zahir berkata, sehingga hari ini,  sebanyak 35 pengusaha restoran dan premis perniagaan telah mendaftar melalui portal bagi menawarkan hidangan Menu Rahmah.

Bagaimanapun, pihaknya turut memberi jaminan terdapat lebih 50 pengusaha negeri ini yang menyediakan hidangan Menu Rahmah tersebut namun, tidak mendaftar. 

“Saya boleh memberi jaminan terdapat ramai lagi pengusaha dan peniaga makanan yang melaksanakan secara sendiri hidangan Menu Rahmah ini,” katanya yang turut memaklumkan tidak menerima sebarang aduan mengenai kualiti makanan Menu Rahmah yang berkurangan hidangan sedia ada.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN