PEPERANGAN di alam maya sentiasa panas dan tiada penghujungnya. Kadangkala, isu-isu kecil diapi-apikan supaya menjadi panas membara bagi mengalih perhatian sebenar atau bagi menjayakan naratif pihak berkepentingan.
Hari ini, alam maya menjadi tempat penting untuk mendapatkan sokongan, meluahkan perasaan, mencari perhatian, mengumpul pengikut, malah untuk mencetuskan bibit kemarahan, kebencian dan adu domba bagi menjatuhkan pihak lain.
Umpan berang ialah cara paling mudah untuk membakar api kemarahan atau memanaskan sesebuah isu dalam masyarakat. Apabila umpan sudah mengena, isu tersebut akan meledak dan pelbagai pihak akan mula berbalas serangan serta menyalahkan pihak lain tanpa merasa keperluan untuk mencari kebenaran.
Berselindung di sebalik identiti palsu, ada yang merasa bebas mencipta fitnah, memutarbelitkan fakta serta menggunakan kata-kata kesat, hina dan memaki-hamun tanpa ada perasaan malu atau bersalah. Bagi mereka, itulah keberanian sebenar.
Atas alasan hak kebebasan bersuara, ada yang merasakan mereka mempunyai kebebasan secara mutlak untuk mengatakan apa sahaja yang mereka mahukan, termasuk isu-isu sensitif.
Ada yang terus menuduh dan menyerang pihak lain hanya berdasarkan tajuk berita semata-mata. Mereka tidak merasa lagi adanya keperluan untuk membaca keseluruhan berita yang ditulis, apatah lagi untuk membuat pengesahan kebenaran faktanya.
Bagi mereka, kebenaran ialah apa yang mereka rasakan sebagai benar dan tidak perlukan sandaran fakta. Maka, timbullah alasan-alasan dangkal yang tidak masuk akal bagi menegakkan benang yang basah.
Tidak kurang juga yang hanya berlagak pandai dan tidak kisah jika mereka hanya memalukan diri sendiri dengan fakta yang salah. Yang penting ialah kelantangan serta kemampuan untuk memutar-belitkan isu berbangkit.
Hal ini kerana, setelah perkara tersebut diulang-ulang oleh para pengikut mereka, ada pula orang lain yang turut terpedaya lantas mempercayai apa yang mereka dengar.
Kita sering mendengar kebatilan yang diulang-ulang akhirnya akan dianggap sebagai kebenaran.
Ramai warga maya merasakan merekalah yang serba tahu dalam semua perkara. Tidak kiralah bidang apa sekalipun, merekalah juga yang teramat pakar dan mampu menyelesaikan segala masalah.
Maka, lahirlah pakar-pakar ekonomi segera, pakar kewangan, pakar geopolitik dan pelbagai lagi pakar segera yang berhujah seolah-olah mereka boleh menyelesaikan pelbagai masalah dunia dalam sekelip mata. Lebih parah, ada pula yang mempercayai apa yang dihujahkan mereka dengan sepenuh hati.
Apabila kebenaran dianggap bersifat subjektif, maka perkara yang dikatakan salah atau betul itu diukur berdasarkan pihak mana yang melakukannya. Perkara yang dikatakan baik akan menjadi perkara mungkar jika ia dilakukan oleh pihak lain, begitu juga sebaliknya.
Hal ini mencetuskan pertelingkahan yang boleh memecahbelahkan rakyat dan jika tidak dikawal boleh menggugat keharmonian negara. Apabila sesiapa sahaja merasa berhak memaki-hamun dan menghina pihak lain yang tidak mereka sukai atas alasan kebebasan bersuara, keadaan boleh menjadi kucar-kacir.
Keadaan akan tambah parah jika perbalahan yang berlaku menyentuh perkara sensitif seperti berkenaan raja, agama dan kaum. Oleh itu, pihak berwajib harus mengambil langkah tegas dan tuntas bagi memantau dan mengawal keadaan serta mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Tambahan pula dengan kemajuan teknologi serta keluasan capaian internet di negara kita, isu yang panas sebegini akan tersebar dalam sekelip mata sahaja ke seluruh pelosok tanah air dan secepat itu juga ketegangan boleh berlaku dalam kalangan rakyat.
Sebagai negara yang rakyatnya berbilang kaum serta berlainan agama, kita perlu mengamalkan sikap saling menghormati serta bertoleransi di antara satu sama lain agar negara kekal stabil, sejahtera, harmoni dan berdaya maju.
Oleh itu, amatlah penting bagi kita untuk bersikap rasional, bijaksana dan matang dalam melayari alam maya agar tidak mudah termakan fitnah yang bertaburan. Negara memerlukan rakyat yang bertanggungjawab serta boleh berfikir secara waras dan tidak bertindak berdasarkan emosi semata-mata.

Hak kebebasan bersuara yang bersifat mutlak akan membawa keburukan dan boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni dalam kalangan rakyat. Dimanakah maruah kita sebagai manusia bertamadun jika kata-kata keji dan maki hamun sudah menjadi amalan harian?
Kejayaan ekonomi semata-mata tidak akan dapat membeli keamanan dan kesejahteraan negara. Kita perlu melihat kemajuan dari sudut kemasyarakatan, bukan hanya melihat kepada angka tetapi lebih mementingkan nilai dan kebaikan setiap manusia yang membentuk sesebuah masyarakat.
Sayangnya, sikap melawan hanya kerana ingin melawan kini seolah-olah menjadi trend, sehingga boleh meruntuhkan nilai ketamadunan kita. Ia lebih ketara dalam kalangan sebahagian anak muda yang mudah memberontak, lalu membuat pelbagai dakwaan atau mengadu domba semata-mata untuk menarik perhatian.
Menjadi tanggungjawab kita semua untuk membendung. Dalam kalangan orang ramai, kita perlu mengelak dan menolak penyebaran naratif yang dimanipulasikan daripada fakta sebenar supaya masalah tidak berlanjutan.
Bagi pihak pengamal media pula, mereka perlu amalkan budaya kewartawanan beretika, tidak mengarang tajuk yang memetik sesuatu perkara secara separa hanya demi menjadikan tajuk lebih bersensasi.
Hanya jika kita cukup matang untuk menolak naratif seperti ini, barulah kita mampu menjadi negara yang benar-benar maju, bukan sahaja dari segi ekonomi dan prasarana, tetapi juga kemasyarakatan. Tidak ada maknanya kita berbangga dengan kemajuan agama dan sosial jika dalam masa sama turut menyebarkan naratif yang terpesong dan memecahbelahkan rakyat.
Sebelum berkongsi sesuatu mengikut emosi, tanyalah diri sama ada wajar untuk kita menyebarkan perkara yang tidak benar, yang akhirnya hanya menambah masalah kepada negara.
Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jangan kerana melayan perasaan, semua yang baik digadaikan.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










